Wajarkah Azeem Fahmi ‘diterbangkan’ dari Alabama untuk menyertai Sukan SEA Kemboja?

237

Kesatuan Olaharaga Malaysia (KOM) memutuskan untuk terbang ke Amerika Syarikat selepas disahkan menerusi kenyataan media oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Mark Lim selepas gagal mendapat respon yang positif daripada pihak Universiti Auburn pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi.

Malah, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa Azeem untuk pulang dan berbakti kepada negara menerusi acara pecut 100 meter memandangkan beliau mensasarkan untuk meraih 10 pingat dalam acara olahraga di Sukan SEA tahun ini.


Terdahulu, Azeem memaklumkan beliau tidak akan menyertai Sukan SEA untuk memberi fokus terhadap pengajian serta latihan yang telah diatur oleh pihak jurulatih universiti.

Beliau juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan beliau baru sahaja berada di sana selama dua bulan.

KOM boleh memberi ruang dan peluang kepada atlet lain yang berpontensi untuk menyertai temasya Sukan SEA bagi meraih pengalaman berharga di kejohanan itu.

Jika ada atlet yang diberi peluang dan digilap, tidak mustahil atlet tersebut mampu menjadi pesaing pesaing buat Azeem pada masa hadapan seterusnya tidak meletakkan segala beban yang perlu dipikul oleh seseorang atlet itu sahaja.

Azeem juga boleh memberikan fokus sepenuhnya terhadap pelajaran dan latihan menerusi bimbingan jurulatih yang juga bekas pemegang rekod dunia 100 meter, Leroy Burell.

Untuk makluman, Azeem berjaya memecah rekod kebangsaan dan rekod peribadi dalam acara pecut 60 meter dengan catatan 6.62 saat dalam kejohanan Tiger Paw Invitational, South Carolina baru-baru ini.

Azeem mempunyai tiga acara yang perlu beliau hadapi iaitu Kejohanan Olahraga Asia di Thailand (12-16 Julai), Kejohanan Olahraga Dunia di Hungary (18-27 Ogos) serta Sukan Asia Hangzhou (23 September – 8 Oktober).

Beliau akan lebih bersedia untuk mewakili negara di dalam acara yang lebih besar sekiranya diberi peluang dan ruang memandangkan beliau baru sahaja berusia 18 tahun.

KOM perlu memastikan Azeem diberi ruang yang secukupnya sebelum membawa beliau pulang ke Malaysia dan menyertai Sukan SEA edisi ke-32 yang akan bermula pada 5 hingga 16 Mei di Phnom Penh, Kemboja.