Untuk perlawanan pra-musim keputusan tak penting! Apa yang penting adalah prestasi pasukan – TCH

520

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak melihat keputusan perlawanan pra-musim pasukannya penting kerana baginya sesi pra-musim adalah untuk menilai pemain-pemain dan juga menerapkan corak permainan yang dikehendakinya.

Disebabkan itu juga pihak pengurusan Selangor mengambil keputusan untuk tidak berkongsi keputusan perlawanan persebahatan pra-musim yang diharungi mereka di Thailand baru-baru ini.


“Perkara itu adalah sebahagian daripada perancangan pihak pengurusan. Sudah pasti kita dapat melihat ada pasukan yang mendedahkan keputusan pra-musim mereka dan ada juga tidak berbuat demikian.

Bagi saya untuk perlawanan pra-musim keputusan tak penting, tetapi dari segi permainan, corak permainan, intensiti dan tahap kecergasan pemain sangat dititik beratkan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, ramai peminat yang mempersoal tindakan Selangor yang tidak berkongsi keputusan perlawanan persahabatan ketika menjalani pra-musim di negara jiran.

Ia telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan perbalahan dalam kalangan peminat di media sosial.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan skuad Gergasi Merah untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini, Cheng Hoe mengakui bahawa prestasi pasukan masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Jika melihat pasukan secara keseluruhan pasukan belum capai tahap prestasi yang terbaik baik dari individu dan juga pasukan. Kita harapkan tempoh dua minggu persiapan ini kita dapat beri tumpuan penuh dan pamerkan prestasi sebenar menjelang saingan liga nanti.

Sukar untuk saya beritahu berapa peratus yang sudah bersedia tapi apa yang boleh beritahu adalah kita belum 100% siap.”

Jelasnya lagi, persiapan pasukannya sedikit perlahan kerana mereka memulakan latihan pra-musim sedikit lewat berbanding pasukan lain berikutan ramai pemain mereka yang baru sahaja menyertai pasukan selepas selesai tugasan bersama pasukan kebangsaan Malaysia di kejohanan Piala AFF 2022.

Sementara itu, Cheng Hoe juga tidak meletakkan sebarang sasaran untuk jadi pencabar mana-mana pasukan lain, sebaliknya beliau menuntut setiap pemainnya mencabar diri sendiri untuk memastikan Selangor berada pada tahap tertinggi musim ini.