‘Contract signing’ Sarawak United FC mungkin pemain belia yang dinaikkan ke skuad utama

231

Saingan Liga M3 bakal membuka tirainya pada awal Mac depan dengan dua pasukan ketika ini menjadi perhatian ramai iaitu Sarawak United FC yang merupakan bekas pasukan yang pernah beraksi di Liga Super.

Semua sedia maklum dengan permasalahan yang berlaku dengan Sarawak United yang mana mereka tidak berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan dari Malaysian Football League (MFL) untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2023 berikutan terpalit dengan isu tunggakan gaji.


Tidak mahu pasukan itu terkubur begitu sahaja, mereka telah membuat permohonan untuk terus kekal dalam saingan Liga Malaysia dengan menyertai Liga M3 yang dikendalikan oleh Amateur Football League (AFL).

Permohonan mereka diterima dan Sarawak United sah akan bersaing di Liga M3 untuk musim 2023 tetapi mereka dikenakan tindakan larangan perpindahan pemain berikutan masih gagal melangsaikan tunggakan gaji.

Bagaimanapun baru-baru ini ramai yang berang dan tertanya-tanya apabila Sarawak United mengumumkan mereka akan menandatangani kontrak pemain baru yang mana beberapa bekas pemain kelab itu turut memberi maklum balas dengan menuntut pihak kelab melangsaikan tunggakan gaji.

Untuk mendapatkan kepastian mengenai tindakan Sarawak United menandatangani kontrak pemain baru, Harimau Malaya telah menghubungi Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL iaitu Mohd Raimi Fakri.

“Sarawak United sememang tidak boleh tandatangan pemain baru kerana mereka dikenakan tindakan larangan perpindahan. Situasi mereka sama seperti Perak FC pada musim lalu di mana mereka tidak boleh tandatangan pemain baru.

Bagaimanapun tiada masalah untuk mereka membawa naik pemain dari skuad belia dan presiden yang mana kesemua pemain ini adalah ‘existing players’ jadi nama mereka ada dalam sistem kelab,”

katanya.

Dalam pada itu, untuk Melaka FC pula mereka bebas untuk menandatangani mana-mana pemain baru tanpa halangan kerana secara teknikalnya mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pengurusan Melaka United.

“Seperti kenyataan saya sebelum ini, Melaka FC dan Melaka United adalah dua entiti yang berbeza, oleh sebab itu mereka tiada masalah untuk tandatangan pemain baru.”

Tidak dapat dinafikan ramai peminat dan bekas pemain yang tidak berpuas hati tetapi tiada apa yang boleh dibuat kerana segala tunggakan gaji pemain Melaka United perlu diselesaikan oleh pengurusan kelab itu sendiri.

Walaupun ada yang mendakwa individu yang pernah berada dalam Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kini berada dalam Persatuan Bola Sepak Melaka (MASA), tetapi individu itu seperti bekerja dengan syarikat baru.

Apa pun kita harapkan kedua-dua pihak pengurusan Sarawak United dan Melaka United dapat melangsaikan tunggakan gaji dalam masa terdekat ini.