AFL sahkan sudah hantar surat kepada BRM FC berkenaan isu tajaan syarikat rokok elektronik

345

Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri mengesahkan bahawa pihaknya sudah menghantar surat kepada pasukan BRM FC selepas jersi mereka mempunyai logo penaja dari syarikat rokok elektronik (vape).

Menurut Raimi, pihak AFL sudah pun memaklumkan kepada semua pasukan yang bersaing musim ini mengenai larangan penggunaan logo syarikat rokok.


“Selepas kita dapat tahu jersi BRM mempunyai logo syarikat rokok elektronik, AFL telah menghantar surat penjelasan daripada mereka termasuk meminta mereka untuk ‘buang’ logo tersebut pada jersi sebelum saingan Liga M3 bermula nanti.

AFL sudah pun memaklumkan kepada semua pasukan sebelum ini mengenai perkara ini kerana ia melibatkan kesihatan. Sememangnya sebelum ini hanya larangan tembakau sahaja, tetapi rokok elektronik ini adalah alternatif jadi kita larang juga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, pihak pasukan perlu mencari jalan penyelesaian dengan syarikat penaja tersebut kerana pihak AFL tidak akan membenarkan logo tersebut berada di jersi.

Baru-baru ini, kelab yang berpengkalan di Kuala Kangsar, Perak telah melancarkan jersi terbaru mereka untuk musim 2023 yang mana ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim.

Adam dalam satu kenyataan kepada media mengakui tidak menyedari mengenai penggunaan logo syarikat rokok elektronik pada jersi kelab tersebut ketika menghadiri majlis perasmian tersebut.

Beliau turut tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan memberi peringatan supaya setiap pasukan perlu mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Untuk pengetahuan, pihak kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian Kovensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) termasuk telah mewujudkan undang-undang domestik iaitu Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) pindaan 2004 yang berkuatkuasa 14 Ogos 2004.