Adakah ‘conflict of interest’ akan terjadi sekiranya XOX beri tajaan kepada pasukan lain?
XOX merupakan nama yang tidak asing lagi di dalam dunia bola sepak tempatan selepas mereka melebarkan sayap perniagaan dengan menjadi pemilik kelab Perak FC serta berkolaborasi bersama pasukan Liga Super.
Untuk makluman, XOX Berhad merupakan syarikat telekomunikasi terkenal yang memasarkan produk XOX dengan perkhidmatan mudah alih untuk Malaysia.
Sebelum ini, XOX menjadi penyelamat Perak dari terkubur dari saingan Liga Malaysia selepas pasukan itu dilanda masalah tunggakan gaji yang parah.
Namun selepas mengambil alih pasukan dari utara itu, XOX telah melakukan pelbagai rombakan besar-besaran pasukan itu termasuk melantik ketua jurulatih baru, pemain baru dan pelbagai lagi.
Namun kini timbul persoalan apabila XOX meneruskan kerjasama dan tajaan bersama dua pasukan Liga Super iaitu KL City FC serta Kedah Darul Aman FC (KDA) pada tahun ini.
Pada musim 2023, XOX menjadi rakan penaja dan bekerjasama dengan KL City dengan mengeluarkan pelan perkhidmatan mudah alih kepada penyokong The City Boys.
Dua hari kemudian, KDA turut mengumumkan kerjasama bersama XOX dengan menawarkan pek sim ONEXOX edisi khas untuk penyokong Sang Kenari.
Dengan kerjasama dan tajaan XOX bersama pasukan lain akan menimbulkan kepentingan konflik apabila melibatkan perlawanan seperti Perak menentang KDA atau KL City di dalam perlawanan Liga Super.
Konflik kepentingan terjadi apabila situasi di mana seseorang atau organisasi terlibat dalam pelbagai kepentingan, kewangan atau sebaliknya dan melayani satu kepentingan sahaja serta menentang yang lain.
Sebagai contoh, sekiranya Perak berada di zon penyingkiran bertemu dengan pasukan KDA atau KL City, maka mereka mungkin perlu memastikan Perak berjaya meraih tiga mata untuk memastikan kelab tersebut kekal di dalam Liga Super memandangkan XOX pemilik Perak dan juga bagi melindungi kepentingan pihak penaja.
Malah XOX boleh menarik tajaan dan kerjasama dengan pasukan KDA sekiranya mereka berjaya memenangi perlawanan menentang Perak dan tindakan sama boleh berlaku kepada pasukan KL City.
Bagaimanapun ini hanya andaian segelintir penyokong sekiranya situasi seperti itu berlaku, namun umum sedia maklum XOX merupakan sebuah perniagaan profesional, maka pastinya mereka tiada masalah untuk menaja mana-mana pasukan yang dirasakan mampu membawa pulangan keuntungan yang tinggi.
Walaupun semua berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku, namun jika berlaku juga tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan persaingan sihat dalam saingan liga.
Apa pun kita harus bersangka baik dengan usaha yang dilakukan oleh XOX kerana mereka sudah mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia sukan yang mana semua sedia maklum mereka mempunyai pasukan permotoran TKKR Racing Team.