Ada pemain yang masih bergelut sesuaikan diri kerana baru pertama kali dipanggil – T Saravanan

472

Pemain skuad B-23 kebangsaan, T Saravanan mengakui terdapat pemain yang masih belum menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, E Elavarasan.

Beliau bagaimanapun melihat, semua pemain cepat belajar apa yang dimahukan oleh Elavarasan dan yakin semua mampu menyesuaikan diri dengan cepat.


“Ada yang masih bergelut untuk sesuaikan diri terutama pemain-pemain yang baru pertama kali dipanggil.

Macam saya sebelum ini sudah ada pengalaman dengan beliau jadi tiada masalah untuk menyesuaikan diri kali ini,”

katanya.

Menurutnya, mereka masih diperingkat awal latihan dan peningkatan akan dapat dilihat selepas beberapa kali sesi latihan lagi.

Sementara itu, beliau bertekad mahu terpilih mewakili negara dalam semua kejohanan yang akan dilalui tahun ini.

“Sudah tentu sebagai pemain saya mahu terpilih untuk mewakili negara, tetapi ia semua bergantung kepada jurulatih, saya hanya perlu buktikan di dalam sesi latihan.”

Dalam pada itu, beliau mengakui masih belum membiasakan diri dengan pasukan baharu, KL City FC kerana baru seminggu menyertai pasukan.

Beliau akan menumpukan perhatian terlebih dahulu tugasan bersama skuad kebangsaan sebelum memberi fokus semula kepada kelab.