MFL akan lakukan sedikit perubahan jadual liga untuk JDT, Sabah FC & Terengganu FC

863

Jadual saingan Liga Super untuk musim 2023 sudah pun dikeluarkan oleh pengelola liga Malaysian Football League (MFL) yang akan menyaksikan perlawanan Piala Malaysia dan Piala FA juga akan berlangsung sepanjang saingan liga.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL iaitu Stuart Ramalingam berkata pihaknya berkemungkinan akan melakukan sedikit perubahan bagi memberi keutamaan kepada tiga pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah FC dan Terengganu FC.


Ini kerana ketiga-tiga pasukan ini akan bermain di pentas Asia iaitu Piala AFC dan AFC Champions League (ACL).

“Kita sudah lakukan banyak perbincangan mengenai perubahan kalendar AFC yang akan menjejaskan jadual hujung tahun kita dari September hingga Disember.

Dengan semua yang kita lakukan, ada juga perubahan yang mungkin dan akan berlaku kerana di mana undian untuk saingan Piala AFC dan ACL masih lagi belum dilakukan,”

katanya.

Menurut Stuart, perubahan jadual yang akan dilakukan nanti akan berdasarkan jadual ketiga-tiga pasukan ini yang mana mereka mungkin akan bermain di luar negara.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa perubahan yang akan dilakukan tidak besar dan tidak akan menjejaskan perjalanan Liga Super.

Tambahnya lagi, untuk pihak MFL mereka sudah pun melakukan yang terbaik termasuk mengeluarkan jadual penuh saingan liga untuk musim ini.

Stuart pada masa juga memberitahu keputusan FAM untuk tidak menghantar skuad negara beraksi di Sukan Asia pada September depan tidak akan menjejaskan langsung jadual Liga Super, sebaliknya ia hanya membabitkan jadual Piala MFL (Liga Simpanan B-23).

“Tiada perubahan kerana skuad ke Sukan Asia adalah skuad B-23 jadi ia hanya memberi impak pada Piala MFL. Buat masa ini tiada perubahan kita akan kekalkan seperti biasa. Kita akan laksanakan jadual seperti yang kita maklum sebelum ini.”

Dalam pada itu, selain tiga pasukan yang akan beraksi di pentas Asia, MFL juga mungkin akan melakukan perubahan jadual bagi memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan.

Terdahulu, MFL baru sahaja mengumumkan BubblesO2 sebagai rakan penaja baru mereka untuk saingan Liga Malaysia selepas menandatangani kontrak perjanjian selama setahun.