Top 4 musim ini, Nafuzi Zain hanya ada tempoh 2 tahun

604

Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberi masa kepada pengendali pasukan iaitu Nafuzi Zain untuk membentuk skuad yang mantap menjelang sepak mula Liga Super 2023 yang akan bermula 24 Februari.

Daud Bakar menerusi tembual bersama RTM menjelaskan beliau mahu sekurang-kurangnya KDA berada di kelompok 4 pasukan terbaik untuk Liga Super musim ini.


Ini susulan prestasi hambar skuad Sang Kenari yang menduduki tangga kelapan di dalam Liga Super musim 2022 dan merupakan musim terburuk buat pasukan Kedah yang berada di kedudukan tercorot selepas enam musim di Liga Super sejak 2017.

Pastinya Daud Bakar ingin memastikan skuad Hijau Kuning kembali ke landasan yang betul dan sentiasa menjadi pasukan yang memberi cabaran, oleh itu musim ini beliau telah melakukan rombakan besar terhadap pengurusan dan pemain yang dipilih untuk mewakili skuad musim ini.

Nafuzi yang berjaya memenangi anugerah jurulatih terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 berjaya direkrut oleh pasukan Kedah selepas kontraknya tamat bersama pasukan Terengganu FC.

Selepas itu, Nafuzi membawa beberapa pemain import yang berpengalaman di Liga Malaysia seperti Lee Tuck dan Manuel Ott untuk memperkuat barisan tengah.

Manakala untuk memperkemaskan benteng pertahanan, beliau membawa Bogan Ciger dan Alan Robertson pada musim ini dan Willian Lira serta Jonathan Balotelli sebagai penyerang.

Umum mengetahui bahawa Nafuzi berjaya merevolusi pasukan Terengganu selepas dilantik sebagai ketua jurulatih untuk Liga Super 2020.

Dalam masa tiga musim, Nafuzi berjaya membentuk Terengganu menjadi pasukan yang mantap dengan corak permainan yang menarik yang digelar sebagai ‘Nafuziball’ di kalangan penyokong Terengganu.

Pastinya falsafah dan corak permainan tersebut dibawa dan diadaptasi di Darul Aman untuk memastikan KDA mampu meraih sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.

Dengan masa dua tahun yang diberikan Daud bakar kepada Nafuzi, ia pastinya memberi cabaran baru dalam usaha memantapkan skuad serta memastikan pemain memahami corak permainan yang diterapkan oleh Nafuzi untuk memberi saingan kepada pasukan lain dalam usaha menjadi salah satu pasukan terkuat pada musim ini.