Lebih ramai pemain Malaysia perlu berhijrah dan keluar dari zon selesa

2,642

Pemain sayap negara, Safawi Rasid mengakui bahawa Liga Thailand merupakan antara liga yang terbaik di ASEAN.

Beliau yang kini sedang berkelana di Thailand bersama Ratchaburi FC kini dapat menyesuaikan diri walaupun hanya baru sebulan berada di sana.


Safawi berkata liga di sana bukan sahaja mempunyai corak permainan yang menarik, tetapi juga penyokongnnya yang sentiasa berada di belakang pasukan kesayangan dalam apa jua keadaan, dan atas faktor itu beliau ambil keputusan untuk berhijrah ke sana.

Tambahnya lagi, walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah sebuah kelab terbaik di rantau ASEAN, namun beliau mahu dapatkan cabaran baru atau keluar dari zon selesa selepas mencapai pelbagai kejayaan bersama Harimau Selatan.

Sebelum ini, sudah ada beberapa pemain yang bermain di Liga Thailand seperti Dominic Tan yang bermain bersama pasukan Police Tero FC, Liridon Krasniqi bersama Khon Kaen United FC dan yang terbaru Junior Eldstal yang kini bermain bersama PT Prachuap FC.

Beliau juga memberitahu bahawa pembangunan akar-umbi di sana amat dititik beratkan selain setiap kelab mempunyai fasiliti yang lengkap termasuk stadium yang berkualiti.

Sementara itu, Safawi juga mengakui pentingnya pemain ke-12 iaitu penyokong pada sesebuah pasukan terutamanya pasukan negara.

Dengan memberi contoh Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang boleh memuatkan lebih 80,000 penyokong menjadikannya sebagai salah sebuah stadium terbaik di dunia.

Bukan sahaja terbaik tetapi juga mendatangkan gerun kepada setiap pasukan lawan yang bertandang.