Liridon Krasniqi gembira TMJ beri peluang kembali ke Malaysia, jadikan perpindahan ke Terengganu FC satu kenyataan

2,662

Pemain Terengganu FC, Liridon Krasniqi mengakui bahawa pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memainkan peranan dalam membawanya kembali ke Malaysia musim ini.

Beliau yang sudah dua tahun berkelana di liga luar negara berkata, beliau sentiasa berhubung dengan TMJ dan baginda selalu mengambil berat tentang dirinya.


“TMJ memang seorang yang sentiasa menjaga para pemainnya, walaupun saya berada di hujung dunia sekalipun baginda akan mengambil berat tentang saya.

Saya gembira baginda jadikan perpindahan ke Terengganu satu kenyataan dan berikan saya peluang untuk bermain di Malaysia sekali lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang juga mesra disapa Mat Don berkata, dirinya sememangnya rindu untuk kembali ke Malaysia dan positif mengenai cabaran baharu bersama Terengganu.

Katanya, sebelum ke Terengganu, beliau masih samar-samar mengenai perancangannya musim ini tetapi pihak pengurusan, jurulatih serta pemain di kelab itu berjaya meyakinkan beliau untuk pulang.

“Saya lihat banyak perkara yang berlaku dalam Liga Malaysia sejak saya pergi, saya berbincang dengan isteri saya dan berkata kepadanya bahawa saya ingin kembali, saya rindukan Malaysia.

Saya sukakan penyokong dan bola sepak di sini, ia juga mempunyai suasana yang baik.”

Sementara itu, beliau mengakui keinginannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih belum pudar walaupun kecewa tidak terpilih ketika kelayakan Piala Asia tahun lalu.

Beliau mahu membuktikan kemampuannya bersama Terengganu untuk memikat ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

“Tidak terpilih dalam skuad kebangsaan adalah satu perkara yang besar bagi saya kerana saya mahu mewakili negara, saya suka bermain untuk Malaysia.

Apa yang bagusnya adalah peluang sentiasa terbuka setiap bulan, anda hanya perlu buktikan kemampuan anda setiap minggu bersama kelab.”

Menurut Liridon, beliau sudah tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong Terengganu yang sentiasa bersemangat.

Beliau mengakui terdapat sedikit tekanan untuk membuktikan dirinya tetapi menganggap ia penting untuk meningkatkan prestasi setiap masa.

Tambahnya, ketika ini beliau masih belum di tahap 100 peratus dari segi kecergasan, tetapi yakin ia akan dapat diperbaiki menjelang sepak mula saingan Liga Super minggu depan.