Sudah pasti rindukan Mickey tetapi kita boleh buat lebih baik lagi dengan pemain yang ada – Alif Zakaria

416

Pemain Terengganu FC, Alif Zakaria mengakui kehilangan Faisal Halim atau Mickey ke Selangor FC musim ini sedikit dirasai memandangkan beliau merupakan tonggak utama pasukan pada musim lalu.

Walaubagaimanapun, beliau yakin bahawa pemain-pemain lain yang ada dalam pasukan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal.


“Sudah pasti rindukan Mickey kerana beliau tonggak utama musim lalu, jadi tahun ini agak berbeza.

Tetapi dengan pemain-pemain yang ada ketika ini, Insya Allah kita boleh buat lebih baik dari tahun sebelumnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain daripada kehilangan Mickey, beliau juga berkata bahawa perubahan ketua jurulatih daripada Nafuzi Zain kepada Tomislav Steinbruckner memberi kesan kepada gaya permainan pasukan.

Menurutnya, ketua jurulatih baharu memberi penekanan lebih terhadap tahap kecergasan pemain.

“Dengan jurulatih baharu tahun ini ia sedikit berbeza kerana beliau tekankan kepada kecergasan, walaupun agak perit sedikit tetapi ia bagus untuk permainan kami.

“Saya merasakan bahawa intensiti lebih tinggi dan cara permainan berbeza daripada tahun lalu, kami harus sesuaikan diri dengan corak permainan beliau.”

Katanya, buat masa ini keserasian antara pemain tempatan sudah cukup baik kerana kebanyakannya masih lagi muka sama pada musim lalu.

Bagi pemain-pemain import pula, beliau mengakui harus meningkatkan keserasian tetapi yakin ia boleh diperbaiki sebelum sepak mula Liga Super bermula minggu depan.

Sementara itu, beliau bercita-cita untuk mendapat panggilan skuad kebangsaan dengan menunjukkan prestasi yang baik.