KBS takut nak dedahkan hasil ‘findings’ dari tinjauan samada atlet pernah alami gangguan dan penderaan – Sarina Sundara Rajah
Presiden Safe Sport Malaysia (SSM), Sarina Sundara Rajah mendedahkan bahawa pihak Kementerian Belia & Sukan (KBS) tidak berani untuk mendedahkan hasil penemuan (findings) dari tinjauan samada atlet pernah mengalami gangguan dan penderaan.
Ini kerana menurut Sarina, hasil penemuan dari tinjauan tersebut dikatakan amat menakutkan, malangnya penemuan itu tidak didedahkan untuk tindakan selanjutnya.
“Tahun lepas KBS melalui IRIS mereka telah melakukan satu survey (tinjauan) untuk melihat samada atlet-atlet atau pentadbir-pentadbir pernah mengalami gangguan dan penderaan atau tidak.
Jadi ‘findings’ (penemuan) itu, bekas Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Jana Santhiran Muniayan telah keluarkan kenyataan kata memang ‘findings’ ini memang menakutkan (dalam perkataannya sendiri) kerana ‘findings’ itu memang tinggi sangat, tapi pihak kementerian masih lagi enggan mengeluarkan ‘findings’ tersebut,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sarina berkata, sekiranya ‘findings’ tersebut dikeluarkan kepada umum, ia akan memudahkan untuk tindakan diambil termasuk langkah-langkah pencegahan dan lain-lain lagi.
Namun sekiranya kita tidak tahu bagaimana gangguan dan penderaan ini berlaku, maka amat sukar untuk menghalang perkara itu dari berlaku.
Bekas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998 ini juga merupakan salah seorang yang pernah menjadi mangsa serangan seksual ketika beliau berusia 14 tahun.
Mendedahkan butiran mengenai kejadian yang berlaku itu, Sarina berkata ia berlaku di tempat terbuka yang mana ketika ini mereka sedang melakukan aktiviti berkumpulan.
“Saya masih ingat ketika itu kita sedang melakukan aktiviti berkumpulan, dan salah seorang atlet lelaki telah memaksa saya untuk mengambil barang yang beliau sengaja letak di bahagian sulitnya.”
Walaupun beliau berkata apa yang berlaku kepada dirinya tidak seteruk seperti atlet-atlet lain yang ada di kalangan mereka menjadi mangsa rogol, namun insiden itu telah membuatkan beliau trauma dan perlukan tempoh yang lama untuk pulih.
“Kalau nak cakap trauma, saya ambil masa bertahun untuk pulih. Jadi bila sekarang saya perjuangkan Safe Sport Malaysia ia seperti dari mangsa, survivor kepada advocate ia sangat empowering. Sebab sekarang ini saya gunakan pengalaman saya dengan ilmu yang saya ada ketika ini untuk melakukan sesuatu supaya apa yang berlaku pada saya tidak berlaku kepada orang lain.”
Sarina merupakan antara individu paling lantang memperjuangkan keselamatan atlet dalam industri sukan termasuk mendesak supaya pihak KBS mengusulkan Akta Keselamatan Sukan di parlimen dengan secepat mungkin.