Adakah penyokong sanggup bayar tiket mahal untuk melihat aksi Harimau Malaya?

459

Pasukan Malaysia sedang melakukan persiapan rapi untuk menghadapi saingan Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai pada Januari 2024.

Dengan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan sekurang-kurangnya 10 perlawanan persahabatan menentang negara dari Timur Tengah seperti Turkmenistan dan Asia Timur seperti Hong Kong dan beberapa pasukan besar lain untuk memastikan kekuatan dan mental setiap permain berada dalam keadaan terbaik.


Tetapi pasukan Jepun menjadi topik hangat perbualan penyokong kerana pasukan tersebut berada di kedudukan ke-20 dunia mengikut ranking FIFA dan pernah menewaskan pasukan gergasi Eropah seperti German dan Sepanyol pada kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar baru-baru ini.

Untuk memastikan Jepun dapat menghadirkan diri untuk bermain bersama pasukan Malaysia, pastinya Jepun akan meletakkan beberapa syarat dan mungkin salah satu syarat yang perlu Malaysia persetujui adalah ‘match fee’ yang perlu dibayar FAM untuk menjemput pasukannya bertandang ke Malaysia.

Untuk pengetahuan, pasukan Jepun memiliki reputasi yang gah sama ada di Asia mahupun Eropah dan mempunyai ramai pemain bintang yang menyinar di liga Eropah seperti Kaoru Mitoma, Daichi Kamada dan Takehiro Tomiyasu.

Pastinya Jepun ingin mendapatkan sesuatu daripada perlawanan persahabatan menentang Malaysia kerana perbezaan kualiti permainan Malaysia dan Jepun bagai langit dan bumi sekiranya melihat kedudukan ranking terkini FIFA.

Untuk melihat bintang Jepun bermain di Malaysia, pastinya tiket bola sepak perlu dinaikkan sedikit supaya boleh meringankan beban yang perlu ditanggung oleh FAM untuk menjemput mereka bermain bersama Harimau Malaya.

Malah dengan kenaikan harga tiket bola sepak tidak akan mendatangkan impak negatif kerana kita boleh melihat aksi bertaraf dunia yang akan ditonjolkan oleh pasukan Samurai Biru di Malaysia.

Pemain Malaysia pula akan mendapat pengalaman yang berguna dan mempelajari sesuatu daripada pasukan Jepun serta sentiasa bersedia dan tidak gentar menentang pasukan yang lebih kuat nanti.

Secara tidak langsung ketua jurulatih, Kim Pan-gon mampu melihat kelemahan pemainnya dan memperbaikinya sebelum kejohanan Piala Asia membuka tirainya.

Pelbagai manfaat yang diperolehi oleh penyokong dan pemain sekiranya Jepun bersetuju untuk bermain di dalam perlawanan persahabatan di Malaysia.

Namun isu tiket mahal perlu dikaji dan diteliti kerana kita perlu bersama-sama menyokong dan memberikan segalanya untuk Harimau Malaya.

Jadi persoalannya kini, adakah Ekor Harimau Malaya bersedia untuk bayar tiket mahal?