J-League ikut jejak langkah Liga Malaysia, siarkan perlawanan dalam YouTube

151

J1 League akan melebarkan sayap dalam usaha mempromosikan J League di luar negara dan seluruh dunia dengan melancarkan pekhidmatan penstriman secara langsung percuma menerusi saluran YouTube.

Inisiatif ini dilakukan oleh pengelola liga Jepun adalah untuk memperkenalkan liga mereka kepada peminat bola sepak di seluruh dunia yang sebelum ini tidak berpeluang untuk menyaksikan sebarang perlawanan liga tersebut.


Ini pastinya memberi manfaat kepada rakyat Jepun yang berada di luar negara untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka bermain secara langsung.

Malah ianya mampu menarik minat penyokong luar Jepun untuk sama-sama menyaksikan perlawanan dari J League dan menarik perhatian mereka untuk menyokong kelab bola sepak yang mereka minati.

Terdahulu, Liga Malaysia menerusi penyiar rasmi Unifi melancarkan perkhidmatan penstriman secara langsung menerusi YouTube pada musim 2022.

Ia menyaksikan jumlah penonton yang semakin menaik untuk melihat perlawanan bola sepak tempatan dan pernah meraih sehingga ratusan ribu ‘viewers’ apabila membabitkan dua pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC.

Dengan menyiarkan perlawanan terpilih secara percuma di YouTube, ia umpama free marketing buat J League kerana mereka bukan sahaja dapat memperoleh peminat baru liga mereka tetapi juga dapat menjana pendapatan lumayan tanpa mengeluarkan bajet besar.

Bagaimanapun perlawanan yang disiarkan di YouTube hanya boleh ditonton di negara yang tidak mempunyai hak penyiaran J League.

Antara kelebihan yang bakal diperolehi oleh kelab-kelab di J League sudah semestinya peminat baru dan jika ia berlaku pastinya kelab dapat menjana pendapatan dapat penjualan jersi dan juga barangan cenderahati yang lain.

Tidak dapat dinafikan, J League merupakan antara liga terbaik di rantau Asia kerana berjaya melahirkan ramai bintang-bintang dunia.

Spekulasi pemain Asia tidak mampu menandingi pemain dari Eropah dek perbezaan saiz fizikal, namun mereka telah buktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu menandingi, tetapi berjaya menumbangkan gergasi dunia.

Malah lebih ramai pencari bakat bola sepak kini mencari pemain-pemain Jepun untuk memperkuatkan pasukan serta mencari bintang dalam pembikinan untuk menyerlah di Eropah.

Lebih akses kepada peminat di seluruh dunia untuk menonton siaran langsung di saluran YouTube adalah medium terbaik untuk memasarkan lagi J League di mata dunia dan tidak mustahil satu hari nanti liga mereka akan menjadi antara terbaik di dunia.