Red Esports mahu buktikan tanpa pemain atau jurulatih import mereka mampu beri saingan sengit pada MPL Malaysia musim ini

203

Jurulatih pasukan Red Esports, Muhammad Farhan Ibrahim tidak melihat pasukannya ‘tempang’ dalam kejohanan MPL Malaysia musim ke-11 walaupun tidak mempunyai pemain atau jurulatih import seperti pasukan lain.

Menurut Farhan, walaupun mereka dibarisi oleh kesemua pemain tempatan tetapi beliau telah menerapkan cara latihan dan mind-set sama seperti pemain import.


“Walaupun ketika ini kita tidak mempunyai pemain import, namun saya sudah mengikuti meta atau cara latihan luar negara.

Jadi saya dah terapkan cara latihan dan juga mind-set sama seperti pemain import, jadi pastinya kami mampu untuk beri saingan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk musim ke-11 kali ini, MPL Malaysia akan melakukan beberapa perubahan format seperti kejohanan dari lapan minggu dipendekkan kepada enam minggu dengan 45 perlawanan yang akan berlangsung di venue baru iaitu di Stadium Juara.

MPL Malaysia akan membuka tirainya dari 10 Mac hingga 16 April, dan perlawanan play-off pula bermula 27 April hingga 30 April.

Red Esports merupakan salah sebuah pasukan dari 10 pasukan yang sah akan menyertai kejohanan kali ini.

Dalam pada itu, Farhan berkata berdasarkan pasukan yang bersaing musim ini, beliau melihat pasukan Homebois merupakan pasukan pilihan berikutan mereka dikendalikan oleh jurulatih dari Filipina yang cukup berpengalaman.

“Bagi saya untuk kejohanan kali ini Homebois akan beri saingan sengit kerana mereka mempunyai jurulatih baru iaitu Dale dari Filipina yang mana beliau mempunyai keupayaan yang hebat di mana beliau sudah pun membuktikan ketika mengendalikan pasukan Falcon yang mana pelbagai kejayaan berjaya dikecapi oleh mereka.”

Sementara itu, beliau juga mengakui bahawa terdapat jurang kualiti antara pasukan dari Malaysia dan luar negara dan pemain-pemain negara perlu tingkatkan permainan mereka dengan mengikuti cara permainan seperti pemain luar negara.

Jelasnya lagi, apabila permainan pasukan sudah setaraf dengan permainan pasukan luar negara baru mereka boleh lakukan penambahbaikan untuk menjadi lebih ampuh.