Tiada isu pun antara pengurusan dengan pemain dan jurulatih, pengurusan Terengganu FC amat profesional – Mohd Fadhil Wahab

513

Pengurus Terengganu FC, Mohd Fadhil Wahab menganggap bahawa ketidakpuasan hati antara pemain dan pengurusan adalah sesuatu yang biasa dalam bola sepak dan boleh diatasi dengan baik.

Beliau berkata, sebenarnya tiada isu yang berlaku antara pihak pengurusan dengan pemain dan jurulatih pada musim lalu seperti yang kecoh di media sosial, tetapi terdapat persepsi negatif yang dilemparkan oleh netizen.


“Sebenarnya tiada isu pun yang berlaku, cuma pihak pengurusan mahu buat sesuatu yang dirasakan baik untuk pasukan dan begitu juga pemain dan jurulatih mahu sesuatu yang baik daripada pengurusan.

Saya lihat pengurusan Terengganu ini amatlah profesional, netizen memang tidak tahu apa yang berlaku dalam pengurusan, tetapi itu semua cabaran yang perlu kita lalui,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun berkata, kritikan dan komen netizen juga harus diambil kira dan dilihat dari sudut positif untuk memajukan lagi pasukan.

Sementara itu, beliau percaya perubahan yang dibawa oleh ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner mampu meningkatkan lagi prestasi pasukan pada musim ini.

Beliau yakin bahawa Terengganu mampu mendakap sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.

“Saya berpuas hati dengan prestasi pasukan pada musim lalu dan tahun ini saya yakin kita mampu meraih sekurang-kurangnya satu piala.

Buat masa ini kita berikan fokus kepada saingan liga terlebih dahulu kerana kejohanan Piala AFC masih jauh lagi, dan saya percaya jurulatih mempunyai strategi untuk bawa kami jauh dalam Piala AFC.”

Mohd Fadhil berharap penyokong akan terus memberikan sokongan padu kepada pasukan pada musim ini dan hadir memenuhi stadium setiap perlawanan.

Beliau juga menyeru para penyokong untuk membeli jersi original pasukan supaya memberi pulangan kepada kelab dan menyumbang kepada peningkatan kelab.