Setiap pemain ada pilihan berpindah ke kelab lain, saya kekal di Terengganu FC kerana ini keluarga saya – Habib Haroon

542

Pemain tengah Terengganu FC, Habib Haroon menyifatkan kelab itu sudah diibaratkan sebagai keluarga buat dirinya menyebabkan beliau membuat keputusan untuk kekal musim ini.

Beliau berkata, semua pemain mempunyai pilihan untuk berpindah ke kelab lain, namun beliau yakin dan gembira di Terengganu.


“Terengganu adalah seperti keluarga saya, semua orang di sini layan saya seperti keluarga.

Saya rasa lebih yakin dan gembira untuk berada di sini, sebab itulah saya teruskan lagi pada musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, beliau mahu membantu pasukan itu mara sejauh mungkin musim ini dan mencapai sasaran peribadinya, antaranya mendakap piala.

Beliau berkata, persiapan pasukan menjelang musim baharu berada dalam keadaan yang baik dan ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner mempunyai kualiti tersendiri untuk membimbing pasukan.

“Jurulatih baharu mempunyai gaya permainan yang tersendiri, untuk tahun ini kami lebih bekerja keras kerana mempunyai lebih banyak kejohanan yang disertai.

Latihan memang agak berat tetapi ia bagus untuk kami, anda perlu berkorban untuk hasil.”

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak sempat pulih daripada kecederaan hamstring sebelum perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu depan.

Beliau tercedera sebelum perlawanan persahabatan menentang kelab Denmark, Odense Boldklub baru-baru ini.