Safe Sport Malaysia bukan untuk lindungi atlet wanita sahaja, tetapi juga atlet lelaki yang turut jadi mangsa serangan seksual
Apabila bercakap mengenai gangguan dan penderaan seksual atlet sukan pastinya ramai yang akan menganggap ianya hanya berlaku kepada atlet wanita sahaja, tetapi sebenarnya atlet lelaki juga tidak terlepas menjadi mangsa.
Perkara itu disahkan sendiri oleh presiden Safe Sport Malaysia (SSM), Sarina Sundara Rajah yang mendedahkan mangsa yang juga rakannya seorang atlet renang menjadi serangan seksual oleh jurulatihnya sendiri.
“Tahun lalu salah seorang rakan saya iaitu bekas atlet renang negara yang mana ketika beliau berusia 10 tahun beliau telah menjadi mangsa serangan seksual selama lima ke enam tahun oleh jurulatihnya sendiri.
Jurulatih lelakinya telah memaksanya untuk melakukan seks oral setiap minggu. Setelah lama beliau akhirnya tampil membuat laporan polis,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Sarina, perbuatan terkutuk ini sudah berlanjutan berpuluh tahun tetapi sehingga kini masih tiada tindakan, oleh sebab itu perkara seperti itu masih berlaku.
Oleh sebab itu, beliau kini aktif memberi kesedaran kepada semua bukan sahaja kepada atlet tetapi juga kepada mereka yang berada dalam industri sukan.
Malah beliau juga kini memperjuangkan keselamatan atlet dengan berharap Akta Keselamatan Sukan akan diusulkan di Parlimen dengan segera.
“Pada tahun lalu ketika KBS diterajui oleh Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu beliau sudah bersetuju untuk mengusulkan Akta Keselamatan Sukan di Parlimen pada Disember, tapi lepas Pilihanraya Umum (PRU) pada November, jadi tak jadilah.
Tapi sebelum itu iaitu selepas tinjauan itu (tinjauan yang dilakukan terhadap atlet dan pentadbir sukan mengenai gangguan dan penderaan) memang Kod Keselamatan Sukan dibincangkan yang mana kita putuskan untuk adakan kod itu sebagai permulaan sebelum mengusulkan akta.
Sepatutnya kita lancarkan pada Disember, tapi dengan pentadbiran baru ketika ini mereka kata bulan Mac, tapi kod itu memang tidak cukup sebab ia tidak ada penguatkuasaan kerana penguatkuasaan ketika ini adalah berdasarkan undang-undang sedia ada ketika ini di mana ia tidak cukup sebab undang-undang itu bukan dikhaskan kepada sukan.”
Jelasnya lagi, banyak pesalah sukan yang tidak dapat didakwa di bawah undang-undang sedia ada, jadi sukar untuk mangsa menuntut keadilan.
Oleh sebab itu beliau mendesak agar Akta Keselamatan Sukan ini diwujudkan supaya masalah yang timbul sebelum ini dapat ditangani.