Pada mulanya cikgu sekolah anggap ‘breakdance’ bukan kerjaya, tapi akhir bangga dengan pencapaian saya – Khenobu
Lebih sedekad lalu dunia Hip Hop ‘meletup’ di Malaysia dengan ramai remaja ketika itu cenderung ke arah itu dan antara paling popular ketika itu sudah semestinya tarian breakdance yang mana mereka digelar sebagai B-boy.
Mohd Faridh Yassin atau dikenali dengan nama panggilan Khenobu dalam dunia breakdance di negara juga antara yang sangat aktif dan menjadikan sukan itu sebagai kerjayanya sehingga kini.
Khenobu bagaimanapun berkata ia bukan mudah untuk mencapai tahap di mana beliau berada ketika ini kerana pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi sepanjang kariernya sebagai B-boy.
Beliau yang mula berkecimpung dalam dunia breakdance sejak di bangku sekolah mengakui tidak mendapat restu daripada guru sekolahnya yang menganggap sukan itu tidak boleh dijadikan sebagai kerjaya kerana ia hanya membawa pengaruh buruk, tapi akhirnya berasa bangga dengan pencapaiannya.
“Itu memang impian saya untuk jadikan breakdance sebagai kerjaya. Tapi masa di sekolah dahulu guru memang cakap tak ada masa depan, dan saya masih ingat lagi dulu saya sering dipanggil oleh guru yang mengatakan breakdance ini jenayah dan bawa pengaruh buruk.
Bagaimanapun saya tidak ambil hati sangat dengan persepsi guru ketika itu. Tapi lama-kelamaan apabila saya masuk Showdown dan orang mula mengenali saya barulah guru saya kagum dengan bakat saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, walaupun ketika itu beliau berada di puncak tetapi beliau tidak pernah mengabaikan pelajaran dan ini membuatkan gurunya berbangga mempunyai pelajar yang bukan sahaja berjaya dalam bidang breakdance tetapi juga cemerlang dalam bidang pelajaran.
Pada masa sama, beliau juga gembira apabila dapat membantu ramai termasuk memberi inspirasi orang ramai yang mahu menceburi dunia tarian breakdance.
Dalam pada itu, sepanjang kerjayanya dalam dunia breakdance, Khenobu telah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan dalam dan luar negara termasuk meraih pingat emas di temasya Sukan SEA 2019.
“Kejayaan bagi kami adalah bonus kerana apa yang penting adalah hati dan kerja keras. Kedua-dua perkara ini lebih penting dari pencapaian yang dikecapi. Pencapaian adalah rezeki dan kami tidak boleh cakap bahawa kami adalah yang terbaik dan tidak menjadikan kemenangan sebagai keutamaan.
Bagaimanapun kami berjaya peroleh pelbagai kemenangan termasuk Showdon (2010), banyak menang pertandingan-pertandingan besar seperti Red Bull BC 1, Battle of The Year dan berpeluang untuk mengembara ke banyak negara.”
Dalam pada itu, Khenobu berkata kejayaan yang dikecapi tidak datang bergolek sebaliknya beliau perlu bekerja keras bagi memastikan sentiasa berada pada prestasi terbaik setiap kali bertanding.
Malah, selain rejim latihan yang padat mereka juga sangat menitik beratkan soal permakanan bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan terbaik dan mempunyai stamina.
“Disiplin menjadi seorang breakdancer ini tidak hanya terikat pada menari sahaja kerana banyak lagi perkara yang kita perlu buat dari segi mental, cara permakanan, cara latihan dan cara tidur. Ini semua sangat penting dalam dunia breaking.“