Khenobu harap KBS dapat iktiraf tarian ‘breakdance’ sebagai sukan!
Biarpun sering mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, namun breakdance masih lagi belum mendapat perhatian ramai terutamanya Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS).
Dunia breakdancing ketika ini semakin berkembang dengan pesat dan sudah mendapat pengiktirafan sebagai sukan di negara-negara luar.
Malah, breakdance telah mendapat pengiktirafan tertinggi apabila ia bakal dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik 2024 Paris.
Mohd Faridh Yassin atau dikenali sebagai Khenobu merupakan antara B-boy yang cukup terkenal di negara dan juga di luar negara selepas beliau pernah mengecapi pelbagai kejayaan di dalam dan juga di luar negara.
Beliau dan seorang lagi rakannya iaitu Lego Sam akan menyertai banyak pertandingan di luar negara bagi mengumpul mata sebanyak mungkin untuk melayakkan diri ke Olimpik pada tahun hadapan.
“Olimpik sekarang sudah isytihar breakdance sebagai sukan rasmi dan akan dipertandingkan pada Olimpik tahun depan. Susulan itu kita akan ambil peluang ini untuk mengumpul mata dan bawa bendera Malaysia ke pusingan akhir Olimpik Paris tahun depan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tidak mustahil Malaysia bakal meraih pingat emas Olimpik pertama buat negara kerana B-boys negara adalah yang terbaik di dunia, oleh peluang untuk merealisasikan emas pertama negara cerah.
Bagi memastikan mereka berjaya layak ke Olimpik, Khenobu memberitahu pada tahun ini mereka akan mengembara ke 10 negara untuk cuba mengutip mata sebanyak yang mungkin.
Selain Olimpik, mereka juga akan turut menyertai temasya lain seperti Sukan SEA dan juga Sukan Asia.
Susulan itu, beliau berharap agar pihak Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) dapat memberi perhatian dan mengiktiraf breakdance sebagai sukan.
“Saya harap YB Menteri KBS dapat memahami dengan lebih mendalam apa itu breakdance. Jika saya dapat jumpa YB saya nak minta salah satu bantuan adalah untuk beliau isytiharkan breakdance ini sebagai sukan. Jika beliau boleh isytiharkan bend aitu saya akan berasa cukup gembira.”
Dalam pada itu, Khenobu juga mendedahkan sepanjang kariernya mengembara ke luar negara, beliau terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri kerana tidak mempunyai sebarang dana daripada pihak kerajaan mahu pun penaja walaupun mengharumkan nama negara di dunia.
“Selama ini saya mengembara ke beberapa negara saya mintak tolong banyak orang, sanggup pergi Parlimen tunggu untuk cuba bercakap dengan siapa-siapa dari KBS untuk nak minta tolong untuk dapatkan dana sebab pergi ke luar negara bukannya murah.
Sampai saya ke Melaka menari di tengah jalan raya nak dapatkan sokongan dari kerajaannya.”
Oleh itu, beliau berharap KBS yang kini dibawah pimpinan YB Hannah Yeoh dapat mengambil tindakan mengisytiharkan breakdance sebagai sukan di Malaysia.