Jersi musim 2023, pemenang terbesar bukan JDT tapi Kedah Darul Aman

15,594

Minggu lalu, kebanyakan kelab sudah mula melancarkan jersi Home dan Away pasukan masing-masing, menandakan sepak mula Liga Super Malaysia akan bermula tidak lama lagi.

Kelab gergasi seperti Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Terengganu FC dan Selangor FC antara pasukan yang tidak melepaskan peluang melancarkan jersi, membangkitkan semangat penyokong kesayangan mereka.


Namun, Kedah Darul Aman FC (KDA) menarik perhatian apabila melancarkan jersi Home dan Away dengan rekaan terbaru dan rata-rata peminat memuji rekaan tersebut.

Jersi Home menggunakan warna kuning sebagai sebagai warna rasmi dan dipadankan dengan warna hijau di bahagian leher, lengan dan seluar manakala baju jersi Away dan seluar menampilkan warna hijau gelap dengan padanan jalur kuning emas di bahagian lengan.

Malah, syarikat yang berpangkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Bin Zayed International LLC diumumkan sebagai penaja rasmi untuk Sang Kenari pada musim 2023.

Ini membawa petanda positif memandangkan Kedah menjadi kelab pertama mendapat tajaan dari syarikat gergasi yang berada Timur Tengah dan membawa lebih banyak pelaburan kepada pasukan Kedah.

Jersi pada musim ini juga mendapat reaksi positif dari penyokong selepas melihat rekaan jersi lebih segar dan menarik berbading pada musim lepas dengan Bin Zayed menjadi penaja utama menjadikan jersi Kedah lebih ekslusif dan premium dari jersi yang sebelumnya.

Pujian yang perlu diberikan oleh pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang bertungkus lumus untuk menaikkan kembali pasukan Kedah dengan membawa perubahan besar-besaran untuk memastikan Kedah menjadi pasukan yang digeruni.

Ia juga membawa satu petanda positif buat Kedah untuk bangkit pada musim ini selepas mereka tersungkur dan gagal membawa prestasi yang memberangsangkan selepas mengakhiri cabaran liga dengan menduduki tangga kelapan pada musim 2021.

Kemasukan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih Sang Kenari akan menjadikan pasukan Kedah menjadi lebih dominan dan bersedia memberi cabaran baru untuk musim ini.

Malah, kemungkinan Kedah juga boleh dilihat sebagai pasukan yang mampu menjadi pencabar utama JDT dalam saingan Liga Super walaupun Daud Bakar hanya meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan lima pasukan teratas liga.

Dengan kemasukan pemain import yang berpengalaman seperti Manuel Ott dan Lee Tuck serta penyerang baru iaitu Willian Lira berserta pemain muda seperti Heshamudin dan Kamil Akmal akan dijadikan sebagai ramuan sesuai untuk Nafuzi membawa Kedah ke tahap yang lebih baik.

Diharap pembaharuan yang dibawa oleh Daud Bakar akan menjadikan pasukan Kedah sebagai pasukan yang disegani dan dihormati di Liga Super pada musim ini.