Saya ada hubungi Korea untuk atur ‘friendly’ tetapi ditolak kerana ranking tidak setaraf – Kim Pan-gon

6,546

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui ada menghubungi Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) untuk cuba mengatur perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya.

Menurutnya, ia bagaimanapun tidak menerima respon positif daripada mereka kerana jurang ranking yang terlalu jauh antara kedua-dua pasukan.


“Kita cuba ajak negara Eropah atau negara besar Asia untuk perlawanan persahabatan, tetapi kadang-kadang bila pasukan ranking rendah hantar surat kepada kita untuk perlawanan persahabatan pun kita tolak, sama juga dengan pasukan besar sebab mereka ambil kira ranking lawan.

Saya ada menghubungi KFA untuk cuba adakan perlawanan persahabatan tetapi mereka tak beri respon yang positif, saya lihat kita perlu membuktikan bahawa kita pasukan yang bagus, perlu berada di ranking 100 ke atas, mungkin lebih mudah untuk atur perlawanan,”

katanya.

Menurut Pan-gon, pada Mac ini, Malaysia akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang cuba menyusun perlawanan persahabatan dengan lawan yang sesuai agar tidak memberi kesan kepada ranking Malaysia dalam kalangan negara-negara AFC.

Beliau berkata, adalah penting untuk ranking negara, yang ketika ini di kedudukan 25 Asia, kekal atau lebih tinggi supaya dapat memulakan saingan kelayakan Piala Dunia 2026 di pusingan kedua.

“Mengikut perancangan, kami cuba dapatkan satu lawan yang kuat dan satu lawan biasa pada satu-satu ‘FIFA Days’ untuk memberi keseimbangan.

Kita perlu catatkan sekurang-kurangnya satu menang dan satu kalah pada setiap ‘FIFA days’.”

Tambah Pan-gon, sepanjang setahun membimbing Harimau Malaya, beliau berpuas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan yang berjaya menerapkan DNA yang dimahukannya.

Beliau berharap peminat bola sepak di Malaysia akan terus bersabar untuk melihat lebih banyak peningkatan dalam bola sepak Malaysia.