Sumandak Sabah jadi tarikan terbaru, ‘marketing’ terbaik dilakukan oleh Sabah FC musim ini
Setiap pasukan memerlukan teknik pemasaran yang berkesan selain memiliki pemain yang terbaik, fasiliti yang lengkap serta stadium yang bagus dalam usaha meraih lebih ramai peminat untuk meyokong pasukan kesayangan mereka.
Melakukan kemaskini di media sosial tentang perkembangan kelab dan menjual cenderahati kelab merupakan contoh pemasaran yang bagus supaya peminat sentiasa mengetahui hala tuju kelab dan pemain tanpa menyembunyikan sesuatu daripada peminat.
Namun, teknik pemasaran yang dilakukan oleh Sabah FC musim ini begitu menarik perhatian ramai pihak dan boleh dikatakan antara teknik yang terbaik untuk edisi pelancaran jersi Liga Super.
Terdahulu, Sabah telah melakukan pelancaran jersi Home dan Away untuk musim 2023 di Stadium Likas pada 18 Februari lalu yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmy Yahya.
Jersi Home menampilkan warna merah sebagai warna rasmi pasukan dengan jalur di sepanjang lengan dengan lambang penaja Lotto manakala warna putih sebagai warna kedua dan dipadankan warna merah di leher dan lengan untuk jersi away Sabah.
Jersi Away diinspirasikan oleh Sumandak (Wanita) sebagai penghargaan kepada wanita yang sentiasa hadir ke Stadium Likas untuk memberi sorakan dan sokongan sepanjang Sabah beraksi di dalam Liga Malaysia.
Malah, video pelancaran jersi away Sabah diserikan dengan model wanita berserta pemain yang menjadi tunjang kepada pasukan Sabah.
Ini merupakan pemasaran yang sangat baik kerana dilihat kreatif serta mempunyai sasaran iaitu menjadikan wanita sebagai pembeli selain daripada lelaki.
Malah, rata-rata penyokong memuji tindakan Sabah yang berjaya menghasilkan pemasaran yang baik dan pastinya penyokong akan membeli kedua-dua jersi kerana kelihatan menarik dan cantik.
Dengan strategi pemasaran yang digunakan oleh Sabah pastinya ianya dapat menambahkan pendapatan kelab melalui pembelian jersi daripada golongan wanita.
Malah ia juga mampu memupuk golongan wanita untuk memakai jersi pasukan bola sepak yang sebelum ini dipelopori oleh lelaki.
Dengan strategi pemasaran yang berkesan oleh pasukan Sabah, pastinya ramai yang ingin memiliki jersi pasukan The Rhinos di samping menambah pendapatan kelab untuk operasi yang lebih lancar.