Hanya senaraikan empat import, Negeri Sembilan FC sukar ulangi persembahan mantap musim lalu?
Pasukan Negeri Sembilan FC telah berjaya mendapatkan empat pemain import tanpa mengambil pemain import dari kuota Asia dan Asean untuk mengharungi Liga Super pada musim ini.
Antara pemain import yang menjadi sandaran pasukan Negeri Sembilan adalah Herold Goulon yang menjadi satu-satunya import yang dikekalkan sejak musim lepas dan Levy Madinda yang dipinjamkan dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Manakala dua lagi import iaitu bekas penyerang Penang FC, Anselmo Arruda da Silva yang dikenali sebagai Casagrande dan Vinicius Leonel Da Silva yang bermain di posisi pertahanan tengah menjadi import terbaru yang akan bermain bersama di Liga Malaysia buat kali pertama.
Walaupun pasukan Negeri Sembilan hanya mempunyai empat import namun mereka tidak boleh menurunkan kesemua pemain import ke dalam kesebelasan utama secara serentak kerana kesemua import datang dari kategori terbuka.
Hanya tiga pemain import yang boleh disenaraikan di dalam kesebelasan utama dan satu import akan berada di bangku simpanan dan hanya boleh beraksi sekiranya berlaku pertukaran pemain.
Ini pastinya merumitkan keadaan kerana tidak dapat menggunakan kesemua kudrat pemain import walaupun dibayar gaji penuh oleh kelab bola sepak.
Malah, kekuatan pasukan pastinya akan tempang sekiranya mana-mana pemain import tidak dapat beraksi bersama pasukan ketika khidmatnya diperlukan.
Sebagai contoh, Levy Madinda tidak dapat diturunkan dan tidak akan disenaraikan di dalam pasukan sekiranya pasukan Negeri Sembilan menentang pasukan JDT.
Ini disebabkan kontrak perjanjian yang telah dipersetujui oleh JDT dan Negeri Sembilan memandangkan Levy Madinda masih lagi hak milik JDT dan hanya menjadi pemain pinjaman buat pasukan Negeri Sembilan.
Dengan masalah yang dihadapi, pastinya ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan mempunyai tugas sukar untuk meletakkan pemain di dalam kesebelasan utama.
Malah percaturan Negeri Sembilan akan menjadi lebih sukar sekiranya salah seorang import yang menjadi nadi pasukan tidak dapat digunakan dengan sebaiknya.
Bukan itu sahaja, kehilangan dua pemain utama pemain yang menjadi kunci kepada pasukan iaitu penjaga gol utama, Syihan Hazmi yang berpindah ke JDT dan pemain pertahanan kental Khuzaimi Piee yang berpindah ke Selangor FC menjadi faktor skuad Negeri Sembilan mungkin tidak sekuat seperti musim lepas.
Malah perubahan besar dalam pengambilan pemain import pada musim ini menjadi salah satu faktor mengapa pasukan Negeri Sembilan akan mengalami kesukaran untuk mempertahankan kedudukan keempat yang pernah dicapai oleh mereka pada musim lepas.
Walaupun kekurangan pemain import dan kehilangan tonggak utama pasukan, itu bukan alasan untuk pasukan Hoben Jang Hoben tidak memberi cabaran kepada pasukan lain di dalam saingan Liga Super yang akan bermula pada 24 Februari ini.