Tugasan bawa skuad wanita B-20 kebangsaan satu cabaran – Cameron Ng

227

Ketua jurulatih B-20 wanita kebangsaan baharu, Cameron Ng menganggap jawatan yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu adalah satu cabaran yang baik buat dirinya.

Menurutnya, beliau mahu melihat pasukan B-20 wanita negara menunjukkan prestasi yang baik di bawah bimbingannya.


“Terima kasih kepada pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana beri kepercayaan untuk bimbing skuad ini, saya rasa ini satu cabaran yang baik untuk saya.

Sudah tentu kami mahu buat yang terbaik, kita akan bersedia sebaik mungkin dan berikan apa yang termampu,”

katanya.

Cameron berkata, pihaknya akan meletakkan sasaran yang realistik buat skuad B-20 wanita negara dalam menghadapi kejohanan.

Sementara itu beliau berkata bahawa kem latihan untuk menghadapi kelayakan AFC B-20 wanita di Kemboja bermula pada hari ini.

Beliau berkata, FAM telah menyusun tiga perlawanan persahabatan termasuk menentang Mongolia pada 2 Mac ini menjelang kelayakan itu.

“Kami ada dua minggu kem latihan dan sudah mengatur tiga perlawanan persahabatan, pada 2 Mac ini kita akan menentang Mongolia.

Ia satu ujian yang sukar sebelum kami berangkat ke Kemboja pada 8 Mac ini.”

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell berkata pelantikan Cameron adalah kerana pihaknya termasuk ketua jurulatih wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi percaya beliau mampu melakukan perubahan dalam bola sepak wanita di negara ini.

Tambahnya, Cameron juga memiliki kelayakan dari segi pengiktirafan kerana beliau memiliki sijil kejurulatihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelas A.