Tak ‘layak’ untuk Australia dan Korea, ayuh Harimau Malaya jadikan tamparan sebagai motivasi!

1,237

Tahun 2023 merupakan tahun yang sibuk buat pasukan Malaysia kerana mereka harus mempersiapkan pasukan sebelum bertanding dalam kejohanan Piala Asia Januari tahun depan selepas kali terakhir Malaysia layak bermain di dalam Piala Asia secara merit pada tahun 1980 di Kuwait.

Dengan itu, Malaysia perlu melakukan persiapan rapi dengan mengadakan sekurang-kurangnya 10 perlawanan persahabatan termasuk menjemput tiga pasukan untuk bermain di dalam kejohanan Pestabola Merdeka.


Dua pasukan yang telah dikenal pasti akan menentang Harimau Malaya pada bulan Mac ini adalah Hong Kong yang berada di ranking 146 FIFA dan Turkmenistan (135) yang akan bermain di Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bharu.

Australia merupakan salah satu negara yang dijemput untuk bermain di dalam perlawanan persahabatan menentang Malaysia namun tidak berjaya kerana perbezaan ranking yang terlalu besar.

Australia merupakan salah satu pasukan gergasi di Asia yang menduduki tangga ke-27 dunia dan pasukan keempat terbaik di Asia di belakang Japan (20), Iran (24) dan pasukan Korea Selatan (25) malah The Socceroos mara ke pasukan 16 terbaik di Piala Dunia 2022 namun tewas kepada pasukan jaura dunia iaitu Argentina dengan keputusan 1-2.

Terbaru, pasukan Australia akan menentang pasukan England di dalam perlawanan persahabatan di Stadium Wembley pada 13 Oktober sebagai persiapan untuk Piala Asia yang membuka tirai pada awal tahun hadapan.

Ini menunjukkan bahawa pasukan Australia tidak merasakan pasukan Malaysia setaraf dengan pasukan mereka memandangkan ranking dan kualiti permainan mereka lebih baik daripada Malaysia.

Pasukan Australia juga tidak ingin memilih kita sebagai lawan walaupun masih belum menjumpai lawan sebenar untuk perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan Mac ini.

Namun, itu bukanlah alasan sebenar Malaysia untuk tidak bersemangat serta berusaha gigih untuk mendapatkan kemenangan menentang Hong Kong dan Turkmenistan menjelang perlawanan persahabatan bulan hadapan.

Malah, setiap kemenangan pasukan Malaysia akan meraih mata yang cukup berharga dan memastikan Malaysia terus menaiki tangga di dalam ranking FIFA.

Diharap Malaysia tidak berputus asa dan sentiasa memperbaiki ranking dalam usaha memperkasa bola sepak Malaysia di rantau Asia.

Mungkin satu hari nanti pasukan Harimau Malaya akan menjadi pasukan rebutan oleh pasukan gergasi Asia seperti Australia dan Jepun dalam perlawanan persahabatan sekiranya jurulatih dan pemain bersama-sama berusaha menaikkan mutu permainan pasukan Malaysia.