Erick Thohir rendah diri atau liga Indonesia sebenarnya sudah jauh ketinggalan dari Malaysia?

1,143

Penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) telah digunakan secara meluas oleh liga terkenal Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) di England, Ligue 1 di Perancis dan La Liga di Sepanyol.

Di ASEAN pula, Thailand telah mencipta sejarah menjadi liga pertama di rantau ini yang menggunakan VAR untuk saingan Thai League 1 manakala Singapura muncul negara kedua yang menggunakan VAR pada musim ini di dalam kejohanan Singapore Premier League (SPL).


Malaysia juga berhasrat untuk menggunakan VAR namun tidak digunakan secara menyeluruh dan hanya melibatkan perlawanan kalah mati seperti kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia.

Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan mereka memerlukan masa memandangkan perlu melihat kesemua aspek penting seperti infrastuktur VAR, latihan pengadil dan pegawai perlawanan.

Ini menunjukkan perkembangan liga bola sepak Malaysia berada di landasan yang betul seiring dengan kaedah yang telah digunakan oleh kebanyakan liga di seluruh dunia.

Di Indonesia pula, penggunaan VAR di dalam perlawanan liga dan kejohanan Piala akan dijalankan kemudian dan bukan satu keutamaan buat musim ini.

Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang baharu, Erick Thohir dalam satu ucapan berkata, penggunaan VAR akan dibincangkan kemudian kerana perkara utama yang perlu diperbaiki adalah menghapuskan gejala mengatur perlawanan.

Tetapi kenyataan Erick Thohir ada benarnya kerana pengunaan VAR di Liga Indonesia lebih susah daripada Liga Malaysia.

Malah, kebanyakan kelab di Indonesia tidak mempunyai fasiliti yang cukup bagus untuk menggunakan VAR di stadium mereka dan perlu membuat kajian yang menyeluruh sebelum menggunakan teknologi tersebut di Indonesia.

Namun, penggunaan VAR tidak mustahil akan dilakukan di Indonesia memandangkan Erick Thohir merupakan jutawan yang terkenal di Indonesia dan pernah menjadi pemilik kepada kelab yang berpangkalan di Itali iaitu Inter Milan dan kelab yang bermain di Major League Soccer iaitu DC United.

Beliau juga pasti mempunyai perancangan yang tersendiri untuk menaikkan bola sepak Indonesia memandangkan beliau baru sahaja dilantik sebagai Presiden PSSI yang baharu untuk penggal 2023 sehingga 2027.

Selain itu, Indonesia akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan Piala Dunia B-20 tahun yang bermula pada 20 Mei hingga 11 Jun, menunjukkan Indonesia semakin serius dalam pembangunan bola sepak.

Tetapi tidak dinafikan bahawa Malaysia telah melangkah satu kaki ke hadapan berbanding Indonesia kerana telah menyediakan VAR bermula musim ini dan bakal menjadi negara ketiga Asean yang menggunakan teknologi tersebut.

Diharap Erick Thohir akan menjadikan pasukan Indonesia lebih cemerlang di peringkat antarabangsa malah menjadikan liga Indonesia lebih meriah dengan penggunaan teknologi VAR pada suatu hari nanti.