Terima kasih TMJ hargai saya, adakan satu majlis khas untuk persaraan saya di SSI – Safee Sali

3,942

Bersempena dengan persaraan legenda bola sepak kebangsaan, Safee Sali, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mengadakan satu acara khas bagi memberi penghormatan terakhir kepada pemain itu di Stadium Sultan Ibrahim.

Menurut Safee, ia akan diadakan pada perlawanan Piala Sumbangsih 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) Jumaat ini.


“Saya menjunjung kasih dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada baginda kerana memberi ruang untuk mengadakan majlis persaraan saya di SSI.

Saya tak tahu lagi tentang butiran terperinci majlis tersebut sama ada dilakukan sebelum perlawanan atau sebaliknya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang juga bekas pemain JDT pada tahun 2013 hingga 2017 berkata demikian ketika satu majlis khas di Sofitel KL Damansara sebentar tadi.

Menurut Safee, TMJ merupakan individu yang menghargai dirinya dan banyak membantu dalam kariernya.

Dalam pada itu, Safee berkata bahawa beliau membuat keputusan untuk bersara setelah melihat dirinya tidak lagi boleh bersaing di peringkat tertinggi.

“Saya merasakan bahawa saya sudah tidak boleh bersaing dalam pasukan terutama di bahagian serangan.

Ia berat apabila rakan sepasukan mahu saya bermain dalam kesebelasan utama tapi saya tak mampu, itu yang membuatkan saya kurang motivasi dan tertekan dengan diri sendiri.”

Beliau bagaimanapun berkata bahawa bola sepak sudah sebati dengan jiwanya dan akan terus bergiat aktif dalam sukan tersebut.

Jelasnya, beliau merancang untuk membuka sebuah akademi bola sepak pada masa hadapan dan sedang dalam proses mengambil lesen profesional.