Kenapa nak bazir duit? Pelancaran jersi ‘jimat cermat’ oleh Sri Pahang patut dicontohi

8,117

Pada bulan ini pelancaran jersi besar-besaran telah dilakukan oleh sebahagian besar kelab Liga Super memandangkan sepak mula musim baharu akan bermula pada 24 Februari ini.

Pasukan Sabah FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Selangor FC antara pasukan gergasi yang melancarkan jersi secara besar-besaran dengan kehadiran besar penyokong pasukan masing-masing.


Malah dengan pelancaran jersi khas untuk menghargai peminat di samping merapatkan jurang antara pemain dan peminat supaya kekal meyokong kelab.

Namun, Sri Pahang FC mencuri tumpuan apabila menampilkan kelainan dengan hanya melakukan pelancaran secara sederhana dengan memanggil ahli yang berkepentingan ketika pelancaran jersi Home, Away dan jersi ketiga untuk musim 2023.

 Lebih mengujakan apabila Sri Pahang menyediakan live stream di halaman Facebook rasmi Sri Pahang supaya peminat tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri jersi rekaan pasukan mereka.

Majlis pelancaran dan suai kenal pemain telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan turut dihadiri oleh Pengerusi Sri Pahang, YM Raja Dato’ Seri Shahrudin Shah Raja Jalil Shah, barisan ahli lembaga pengarah, jawatankuasa pengurusan pasukan, rakan penaja dan wakil media.

Untuk pengetahuan, jersi Home menggunakan warna kuning sebagai warna simbolik pasukan dipadankan dengan jalur biru di bahagian tengah manakala jersi Away menggunakan gabungan biru-kuning menampakkan rekaan jersi lebih menarik manakala jersi ketiga menampilkan warna putih.

Pastinya majlis seperti ini dilakukan kerana bajet yang diterima mungkin tidak sebesar pasukan lain yang lebih menerima penajaan dan bajet lebih tinggi.

Pelancaran besar-besaran seperti yang dilakukan oleh pasukan lain pastinya memerlukan kos yang tinggi kerana banyak persiapan yang perlu dibuat serta memerlukan tenaga kerja yang ramai mengikut tempat dan keadaan semasa.

Walaupun penyokong tidak dapat menghadirkan diri ke dalam majlis pelancaran jersi Sri Pahang, namun itu bukanlah alasan untuk penyokong tidak membeli jersi keluaran Sri Pahang pada musim ini.

Malah jersi ‘fans issue’ yang berharga RM39.99 amat berpatutan dan seharusnya penyokong tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan jersi tersebut menerusi ejen sah atau di laman web rasmi Hakka Clo.

Dengan pengenalan majlis pelancaran jersi yang sederhana, pastinya Sri Pahang ingin menjimatkan kos serta memastikan kos operasi kelab berjalan lancar tanpa sebarang tunggakan gaji atau masalah yang berkaitan.

Penyokong juga memainkan peranan penting untuk kewangan pasukan dengan menghadiri setiap perlawanan pasukan Sri Pahang yang bermain di halaman sendiri serta membeli barangan cenderahati seperti membeli jersi original.

Diharap pasukan Sri Pahang mampu memberi saingan kepada pasukan lain dan sekurang-kurangnya mencapai sasaran pasukan untuk berada di kedudukan lima pasukan teratas dalam Liga Super berjaya direalisasikan oleh barisan jurulatih dan pemain Sri Pahang musim ini.