PFAM sedang siap sedia heret Melaka United, Sarawak United ke mahkamah sivil – Izham Ismail

786

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mendedahkan bahawa pihaknya sedang bersiap sedia untuk membawa ke tunggakan gaji Melaka United FC dan Sarawak United FC ke mahkamah sivil.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu keputusan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum mengambil tinddakan lanjut.


“Untuk kelab yang masih lagi tertunggak lagi gajinya, kita masih lagi menunggu keputusan daripada NDRC FAM.

Sekiranya masih belum selesai pada peringkat tersebut, kita akan bawa ke peringkat lebih tinggi iaitu di mahkamah sivil,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha PFAM dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji yang sudah lama membelenggu kedua-dua kelab itu.

Tambahnya, sekiranya perkara itu terjadi, ia akan menjadi antara kes tunggakan gaji pertama dalam arena bola sepak tempatan yang dibawa ke mahkamah sivil.

“Ini adalah antara kes pertama dalam bola sepak tempatan, sebelum ini kita telah lihat keputusan kes pemain Kuantan FA.

Rentetan daripada itu, kita juga akan melakukan perkara sama untuk kes-kes lain supaya kebajikan pemain akan terus terbela.”

Sebelum ini, PFAM pernah mendedahkan bahawa lebih RM2.7 juta gaji masih belum dibayar oleh kedua-dua pasukan itu kepada pemain mereka.

jumlah tersebut membabitkan RM2.3 juta oleh Melaka United manakala lebih RM400,000 oleh Sarawak United bagi tempoh enam bulan bermula Julai sehingga Disember tahun lalu.