Terengganu FC masih belum lengkapkan dokumen diperlukan untuk main di SSMZA – Stuart Ramalingam

2,492

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa Terengganu FC masih lagi belum menyerahkan dokumen yang diperlukan untuk menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebagai gelanggang home musim ini.

Menurutnya, beliau telah berbincang dengan CEO Terengganu, Ab Rasid Jusoh mengenai perkara itu dan dokumen berkenaan dijangka akan dihantar dalam masa beberapa hari.


“Setelah berbincang dengan CEO Terengganu, beliau berkata akan menghantar surat yang diperlukan dalam dua tiga hari.

Kadang-kadang ia memerlukan masa kerana daripada pihak ketiga, saya tak boleh salahkan pihak Terengganu dalam isu ini,”

katanya.

Beliau bagaimanapun melihat masih ada masa untuk Terengganu menyelesaikan perkara itu memandangkan mereka bakal bermain di gelanggang lawan pada dua perlawanan pertama.

Stuart berkata, beliau tidak mahu mendedahkan apakah surat yang masih belum dihantar itu dan menyerahkan kepada pihak Terengganu untuk menjelaskan perkara itu.

“Mereka memohon untuk bermain di SSMZA dan kami ada senarai surat yang diperlukan di mana mereka perlu serahkan kepada kami.

Saya rasa penjelasan daripada pihak Terengganu mengenai perkara ini adalah lebih sesuai.”

Terdahulu, ketika pengumuman jadual Liga Super musim 2023, MFL mendedahkan bahawa SSMZA masih belum mendapat kelulusan untuk menjadi home bagi Terengganu kerana terdapat dokumen yang belum lengkap.

Sementara itu, mengenai isu kecurian kabel di Stadium Perak, Stuart berkata pembaikan pulih sedang dijalankan dan beliau yakin ia mampu disiapkan sebelum perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Kedah Darul Aman FC Sabtu ini.

Katanya, pihaknya mempunyai cadangan lain sekiranya ia tidak dapat disiapkan sebelum perlawanan itu, tetapi enggan mendedahkan apakah perkara itu.