Susah nak lahirkan penyerang sehebat Safee Sali sekarang kerana terlalu ramai pemain import – Razman Roslan

442

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan menganggap sukar untuk Malaysia melahirkan lebih ramai penyerang sebaik Safee Sali ketika ini kerana kewujudan pemain import yang terlalu ramai.

Beliau berkata, penyerang yang dilihat mempunyai ciri-ciri untuk menjadi sebaik Safee adalah pemain Sabah FC, Darren Lok.


“Saya lihat sekarang mungkin agak sukar untuk lahirkan penyerang seperti Safee kerana kita terlampau ramai pemain import sekarang.

Tetapi pemain yang saya lihat boleh serupa dengan Safee adalah Darren Lok yang mempunyai karakter, disiplin dan gaya permainan yang sama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Razman berkata demikian ketika majlis pengumuman persaraan Safee sebentar tadi.

Beliau merasakan jika Darren menunjukkan konsistensi yang baik, beliau boleh menjadi legenda atau pemain yang diingati seperti Safee.

Sebagai seorang rakan yang amat rapat dengan Safee, beliau menyifatkan pemain itu sebagai seorang yang amat berdisiplin dan komited terhadap bola sepak.

“Saya kenal Safee dari zaman persekolahan lagi, dan kami bermain bersama di Selangor dan pasukan kebangsaan, banyak kenangan manis.

Saya boleh katakan beliau persis Mokhtar Dahari, saya amat sedih juga beliau mahu bersara tetapi saya pasti beliau akan terus menyumbang kepada bola sepak Malaysia.”

Menurutnya, beliau menyokong perancangan Safee yang mahu mewujudkan akademi sendiri pada masa hadapan.

Katanya, dengan kepakaran serta pengalaman yang dimiliki pemain itu, ia akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.