Kurang ‘menyengat’ sejak kebelakangan ini, harap Lee Zii Jia tidak jadi macam Kento Momota
Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia perlu bangkit dengan segera dan fokus untuk kejohanan seterusnya selepas pasukan Malaysia gagal untuk mara ke separuh akhir dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, selepas tewas kepada China dengan keputusan 2-3 baru-baru ini.
Zii Jia juga perlu mendapatkan keyakinan dirinya semula supaya beliau dapat memulihkan prestasi dan berjaya meraih lebih banyak gelaran ketika bersama pasukan Malaysia.
Jika beliau masih kekal dengan prestasi seperti kebelakangan ini dan tidak menunjukkan perubahan dalam kariernya, peluang untuk menjadi pemain yang disegani serta berada di tahap tertinggi akan menjadi misi yang sangat mustahil untuk dicapai.
Pemain perseorangan Jepun, Kento Momota adalah salah satu contoh bagaimana seorang pemain yang mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu bintang terhebat, tetapi akhirnya gagal untuk menunjukkan aksi konsisten.
Beliau yang berusia 28 tahun pernah berada di ranking nombor satu dalam ranking Badminton World Federation (BWF) dan memenangi 11 gelaran pada tahun 2019 ketika berada di kemuncak prestasi.
Beliau menerima anugerah sebagai pemain terbaik BWF dan merupakan prospek utama untuk meraih pingat emas dalam acara persorangan lelaki.
Namun, selepas kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya dan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan beliau gagal meraih keyakinan dirinya semula.
Lima kali tewas pada pusingan pertama dan dua kali tewas di pusingan kedua pada tahun 2022 membawa petanda jelas beliau gagal meraih keyakinan walaupun tetap berlatih dengan gigih.
Beliau yang kini menduduki ranking ke 23 dunia bukan lagi calon pilihan utama untuk pemain perseorangan Jepun dan diganti dengan Kodai Naraoka yang berada di ranking ketujuh dunia.
Untuk Zii Jia, beliau boleh mendapatkan nasihat daripada bekas pemain negara seperti Datuk Wira Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek memandangkan mereka berdua merupakan legenda negara yang dikenang di dalam industri badminton.
Malah, rekod dan pencapaian mereka di dalam arena badminton tidak terkira selepas dedikasi dan komitmen yang mereka tunjukkan ketika mewakili negara.
Beliau juga boleh memikirkan untuk mendapatkan jurulatih yang berkaliber dalam usaha memulihkan keyakinan dirinya untuk menjadi lebih baik.
Fungsi jurulatih bukan sahaja melatih pemain di bawah jagaan mereka, namun lebih kepada menjadi pembakar semangat dan mampu memulihkan keyakinan disaat moral pemain sedang merudum.
Jurulatih juga mampu bertindak sebagai penganalisis tentang corak permainan dan melihat apa yang tidak kena apabila pemainnya tewas dalam sesuatu perlawanan.
Di usia 24 tahun, Zii Jia bukan lagi seorang pemain muda yang mencari rentak tetapi beliau perlu mendapatlan momentum kembali dan menjadi pemain yang digeruni musuh.
Sekiranya beliau tidak berubah, beliau akan diganti dengan pemain yang lebih layak dan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi ketika berada di dalam gelanggang.
Diharap Zii Jia mampu mengubah dirinya kembali menjadi pemain yang disegani serta bangkit untuk mencari rentak sebenar dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran memandangkan kelayakan untuk ke Sukan Olimpik 2024 di Paris semakin hampir.