Saya terkejut Safee Sali bersara, terima kasih anggap saya gandingan terbaik – Norshahrul Idlan Talaha

801

Bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mengakui beliau terkejut apabila mengetahui bekas rakan sepasukannya, Safee Sali mengumumkan persaraannya hari ini.

Menurutnya, beliau menghormati keputusan Safee dan berharap bekas pemain KL City FC itu berjaya dalam perancangan beliau selepas ini.


“Saya hormati keputusannya dan agak terkejut dengan berita ini, saya rasa seluruh peminat juga terkejut tetapi kita harus terima dan hormati keputusannya.

Mungkin beliau mempunyai rancangan sendiri selepas ini jadi saya doakan beliau berjaya teruskan apa yang diimpikan selepas ini,”

katanya.

Menurut Norshahrul, beliau terkejut apabila Safee menamakannya sebagai gandingan terbaik dalam kariernya.

Beliau menganggap ia sebagai satu penghargaan dan tidak pernah melupakan saat ketika bersama di atas padang.

“Terima kasih kepada Safee kerana anggap saya gandingan terbaik, beliau tak pernah bagitahu saya pun sebelum ini.

Walaupun kami bermain bersama tidaklah terlalu banyak tetapi saya pasti semua orang tidak dapat lupakan gandingan kami ketika Piala AFF 2010 yang membawa kita menjadi juara.”

Beliau menyifatkan Safee sebagai seorang penyerang yang pandai menjaringkan gol.

Safee pada hari ini mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional selepas hampir 20 tahun berada dalam arena tersebut.