TMJ bersikap rendah diri letak sasaran Top 3 Liga Super musim ini

1,416

Bagi peminat bola sepak Malaysia tidak dapat menafikan kehebatan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merupakan kelab bola sepak paling berjaya dalam tempoh sedekad ini apabila meraih pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan juga Asia.

JDT merupakan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut dan menjelang saingan Liga Super musim 2023 yang akan membuka tirainya pada 24 Februari ini, pasukan Harimau Selatan itu sekali lagi menjadi pilihan untuk menjulang kejuaraan itu pada hujung musim ini.


Namun disebalik keterujaan peminat JDT yang mahukan pasukan kesayangan mereka mendominasi musim ini, bagi peminat kelab pula iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pula bersikap rendah diri apabila hanya sekadar meletak sasaran Top 3 sahaja.

“Sasaran kami untuk pasukan JDT macam biasa Top 3 kerana kami mahu bermain di pentas Asia. Untuk AFC Champions League (ACL), kami harap dapat melepasi peringkat kumpulan kerana macam mana pun, saya tetap realistik dengan sasaran ACL disebabkan kualiti pasukan-pasukan yang bertanding kerana mereka sudah lama bertapak daripada kita.

Kami tetap projek yang lebih muda atau macam orang kata, projek yang lebih baru, jadi sasaran realistik ialah melepasi peringkat kumpulan atau kalau ada rezeki, jika dapat sampai ke suku akhir,”

katanya.

TMJ juga tidak meletak sasaran untuk menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia, sebaliknya hanya menyasarkan untuk layak sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir kerana mahu memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk bermain dalam kedua-dua kejohanan itu.

Musim lalu JDT sekali lagi berjaya mencipta sejarah baru apabila menjadi kelab dari Malaysia yang pertama berjaya mara ke Pusingan 16 ACL.

Sasaran yang diletakkan oleh TMJ boleh dikatakan sasaran rendah diri berikutan pada musim ini mereka melakukan persiapan yang cukup rapi termasuk membawa masuk ramai pemain-pemain import berkualiti.

Dalam pada itu, dengan status sebagai kelab bola sepak terkaya di rantau Asia Tenggara, TMJ turut menegaskan bahawa pihak kelab JDT tidak terlalu fokus dengan penjualan jersi kerana ia bukan keutamaan kelab, sebaliknya fokus mereka adalah untuk kejayaan setiap aspek.

“Kami adalah kelab bola sepak. Kami di sini bukan untuk baju (jersi). Kami di sini adalah untuk kejayaan setiap aspek, bermakna berjaya dalam ada infrastruktur sukan yang tercanggi dan teknologi, serta kejayaan dalam padang dalam setiap perlawanan.”

Bagi TMJ, rekaan jersi atau tidak adalah perkara kedua kerana apa yang paling penting adalah nilai komersial kelab, infrastruktur tercanggih dan kejayaan kelab.