UltrasSel dan Elephant Army kembali menggegar stadium selepas ‘mengamuk’ pada musim lepas

868

Ultras pasukan bola sepak merupakan salah satu komponen penting di dalam perlawanan bola sepak dan juga menjadi salah satu nadi pasukan dengan memberi sorakan padu dan melakukan ‘chant’ tanpa henti sepanjang perlawanan berlangsung.

Ultras juga menujukkan taat setia sebagai penyokong bola sepak kepada pasukan serta menjadi pemain ke-12 kerana mereka akan hadir sebanyak mana (Home dan Away) tanpa mengira kos perbelanjaan demi memberi sokongan kepada pemain kesayangan mereka.


Ultra Selangor (UltraSel) antara ultras yang paling lantang dalam mengkritik pasukan pada musim lepas selepas aksi longlai pasukan Selangor FC yang gagal mempamerkan persembahan menyakinkan dalam saingan Liga Super.

Walaupun pada awal musim mereka sentiasa mendokong dan meyokong pasukan Selangor dengan sepenuh hati dalam memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan mereka.

Namun keputusan yang sentiasa mengecewakan penyokong menyaksikan UltraSel menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan menyanyikan chant makian serta mengangkat sepanduk logo yang mengandungi ayat yang kurang sopan.

Tetapi, musim ini mereka tetap akan hadir memberi sokongan namun tetap memberi peringatan supaya menghormati perkara dan segala aspek di dalam kelab Selangor agar perkara yang lepas tidak lagi terjadi.

Ultras Sri Pahang FC atau dikenali sebagai Elephant Army pula juga merupakan antara ultras yang terkenal dengan sorakan padu mereka dan juga lantang bersuara sekiranya perkara tidak baik berlaku pada pasukan kesayangan.

Namun segalanya berubah apabila Sri Pahang FC gagal mencatatkan keputusan yang memberangsangkan dan sering kali gagal mendapatkan kemenangan sama ada di halaman sendiri atau di halaman lawan.

Dek kerana kekecewaan yang melampau, Elephant Army mengambil keputusan untuk tidak hadir ke stadium dek kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan Sri Pahang dan tiada sorakan bergema di stadium yang mampu membakar semangat pemain untuk terus mencipta kejayaan bersama pasukan.

Namun kekecewaan tersebut sudah diatasi dan Elephant Army akan tetap mendukung Sri Pahang yang akan menghadapi saingan Liga Super pada musim ini dengan mengajak penyokong untuk bersama-sama memberi sokongan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan pada perlawanan pertama mereka di tempat lawan.

Walaupun Elephant Army tetap memberikan sorakan semangat kepada Sri Pahang setiap musim, namun 9 Tuntutan Elephant Army kepada Pihak Pengurusan Sri Pahang tidak akan dilupakan dan mereka akan sentiasa bersuara demi kebaikan kelab.

Ultras bola sepak akan sentiasa memberi kekuatan kepada sesebuah pasukan bola sepak dan menjadi tunjang utama pasukan di saat berada di dalam keadaan tertekan dan ada kalanya membuatkan pasukan yang ketinggalan melakukan kebangkitan luar biasa.

Tidak pernah meminta tiket percuma atau layanan istimewa, malah mereka sendiri sanggup berkorban wang ringgit dan masa untuk menyokong pasukan kesayangan bermain di mana-mana sahaja.

Apa yang dimahukan mereka hanya satu perkara itu iaitu pasukan bermain dengan baik dan tiada sebarang masalah yang berlaku dalam pasukan.