Nama pemain ditentukan penyokong sendiri, inisiatif terbaik JDT rapatkan hubungan pemain-penyokong

1,341

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sangat terkenal dengan menggunakan pelbagai cara dalam usaha mendekati peminat serta merapatkan hubungan diantara sesama peminat dan kelab.

Antara pendekatan yang digunakan oleh JDT adalah melakukan sesi perjumpaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bersama para penyokong dalam sesi soal jawab di Stadium Sultan Ibrahim dan majlis pelancaran jersi secara besar-besaran bersama penyokong dan pemain bola sepak.


Terbaru, penaja utama JDT iaitu Socios.com kini menemui cara terbaru untuk mendekatkan lagi peminat dengan pemain dengan memberi penyokong peluang untuk menentukan nama yang sesuai untuk diletakkan di belakang jersi pemain pada musim ini.

Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi menjadi pemain pertama yang akan ditentukan oleh penyokong untuk meletakkan nama beliau di belakang jersi dengan penyokong boleh melakukan undian di aplikasi Socios dan keputusan akan diumumkan sebelum bermulanya perlawanan Piala Sumbangsih pada 24 Februari ini.

Dengan pendekatan terbaru seperti ini, penyokong yang meminati Arif Aiman pastinya tidak akan melepaskan peluang ini.

Ini juga menjadi memberi nilai tambah kepada pasukan JDT yang sentiasa inginkan penyokong dekat dengan kelab.

Malah, penyokong akan mendapat lebih banyak manfaat apabila menggunakan Socios apabila boleh mendapatkan Fans Tokens dan menebus di laman web atau aplikasi Socios untuk mendapat pelbagai ganjaran yang menarik dari kelab.

Untuk makluman, Fans Token adalah aset digital yang memberi peluang kepada peyokong untuk meraih pelbagai kelebihan dan kemudahan yang diberikan oleh kelab seperti memilih lagu sebelum masuk ke dalam padang, memilih mesej yang akan diberi kepada ketua pasukan dan juga memilih lagu setiap kali pasukan menjaringkan gol.

Mungkin selepas ini penyokong akan diberi lebih pilihan termasuk pemain pilihan untuk kesebelasan utama sekiranya JDT mengatur perlawanan persahabatan atau pun bermain dengan pasukan dari liga divisyen bawah seperti Liga M3.

Namun segala kemudahan yang diberikan oleh Socios akan menjadikan ‘bonding’ yang lebih kuat di antara penyokong dan pemain serta memastikan sokongan peminat tidak luntur.

Sekiranya hubungan antara penyokong dan peminat tidak kuat, maka sokongan oleh penyokong tidak akan bergema di stadium.

Contoh, KL City FC tidak memberitahu cara untuk membeli tiket secara dalam talian walaupun perlawanan pertama Liga Super akan bermula beberapa hari saja lagi.

Malah pas bermusim yang sepatutnya dikeluarkan lebih awal tidak dapat dibeli dan pelancaran jersi akan bermula sehari sebelum sepak mula Liga Super.

Ini menjadikan penyokong tidak kisah tentang apa yang berlaku malah kehadiran penyokong ke stadium akan mula berkurangan sekiranya pengurusan KL City tidak mengambil cakna tentang isu di atas.

Sokongan padu penyokong akan terjadi sekiranya hubungan di antara pasukan dan penyokong sentiasa rapat kerana penyokong tak perlukan wang atau layanan terlalu istimewa, sebaliknya cukup teruja sekiranya dihargai.