Selangor FC jual tiket berlainan harga untuk pasukan Tier 1 & 2, bezakan mana satu pasukan besar dan kecil?
Debaran penyokong semakin terasa apabila setiap pasukan kini menjalani hari-hari terakhir dalam melakukan persiapan sebelum Liga Super musim 2023 membuka tirai pada 24 Februari ini.
Para penyokong sudah bersedia untuk hadir ke stadium bagi memberi sorakan gemuruh kepada pasukan kesayangan masing-masing memandangkan setiap peminat rindu untuk melihat pasukan beraksi di atas padang.
Malah, tiket perlawanan sudah mula dijual di dalam talian melalui laman web Tickethotline untuk dibeli oleh semua peyokong mengikut harga yang telah ditetapkan.
Namun, pasukan Selangor FC tampil berbeza pada musim ini dengan menjual tiket pada harga yang berlainan menentang pasukan-pasukan tertentu mengikut peringkat (Tier).
Untuk pengetahuan, kelab yang diletakkan di Tier pertama oleh Selangor adalah Sabah FC, Terengganu FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA) dengan harga harga tiket bernilai RM25 untuk Open dan RM 30 untuk Granstand.
Manakala pasukan Kelantan United, KL City FC, Kuching City FC, PDRM FC, Perak FC, Penang FC, dan Sri Pahang FC berada di Tier kedua dan tiket menentang mereka pula dijual pada harga lebih rendah iaitu RM20 untuk Open dan RM30 untuk Grandstand.
Namun, untuk perlawanan Suku Akhir dan Separuh Akhir Piala FA serta Piala Malaysia harga tiket akan menjadi RM25 untuk satu perlawanan kerana dianggap sebagai perlawanan peringkat 1.
Untuk peminat yang berusia 5 tahun ke bawah dan Orang Kurang Upaya (OKU) akan diberi akses tiket percuma untuk kesemua perlawanan pasukan Selangor di halaman sendiri.
Dengan penjualan tiket yang diperkenalkan oleh kelab Selangor pastinya memberi kelebihan kerana dapat menambah kantung kewangan kelab serta dapat melancarkan operasi kelab dengan sempurna terutama perlawanan yang berlangsung di halaman sendiri.
Penjualan tiket mengikut Tier itu seolah-olah memperlihatkan bahawa Selangor menganggap lima pasukan berkenaan sebagai pasukan gergasi.
Mungkin juga Selangor menjangkakan bahawa penyokong yang hadir pada perlawanan menentang pasukan-pasukan tersebut lebih ramai berbanding pasukan di Tier kedua.
Sebagai contoh, untuk perlawanan pertama Liga Super musim 2023 pasukan Selangor yang menentang Kelantan United mungkin dianggap sebagai perlawanan biasa dan menentang pasukan yang kecil berbanding pasukan Selangor yang mempunyai nama di dalam Liga Super.
Namun Selangor perlu memberi tumpuan dan fokus 100 peratus tidak kira siapa lawan mereka agar terus kekal bersaing di dalam Liga Super seterusnya mencatatkan kemenangan demi misi beraksi di pentas Asia tercapai.