Kami mahu menang dan terus menang trofi! Esok JDT akan pamerkan permainan intensiti tinggi seperti di Dubai esok – Pablo Ricchetti

3,241

Penolong ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Pablo Ricchetti memberitahu bahawa pasukannya akan mempamerkan corak permainan intensiti tinggi seperti yang mereka lakukan sepanjang perlawanan pra-musim di Dubai baru-baru ini.

“Kami telah mengharungi pra-musim yang cukup baik di Dubai baru-baru ini. Kami akan mulakan saingan dengan Piala Sumbangsih yang juga perlawanan liga pertama buat kami musim ini dan mahu menang dan terus menang trofi.

Untuk perlawanan malam esok, kami akan pamerkan corak permainan intesiti tinggi sama seperti yang kami tunjukkan sepanjang pra-musim sebelum ini,”

katanya.

Menurut Ricchetti, pemain-pemainnya berada dalam keadaan terbaik ketika ini dan kesemua sudah bersedia untuk diturunkan pada perlawanan esok.


Beliau bagaimanapun berkata barisan kejurulatihan masih lagi belum membuat keputusan mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan.

“Kita mempunyai ramai pemain-pemain berkualiti dan sukar untuk kami (barisan kejurulatihan) untuk membuat pilihan barisan kesebelasan utama. Siapa main atau tidak semuanya bergantung kepada pelbagai aspek.

Saya rasa ketua jurulatih sudah ada bayangan pemain kesebelasan utamanya, cuma tinggal beberapa butiran yang perlu dinilai pada malam ini sebelum menetapkan pemain kesebelasan utama.”

Dalam pada itu, berdasarkan keadaan skuad Harimau Selatan ketika ini, Ricchetti  tidak melihat sukar untuk pasukannya mengekalkan kejuaraan Liga Super pada musim ini.

JDT akan menentang Terengganu FC dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan perlawanan pembukaan Liga Super.

Sementara itu, Ricchetti juga tidak dapat memberi sebarang komen mengenai khabar angin yang mengatakan bahawa mereka akan membawa masuk penyerang berbisa Colombia, Radamel Falcao.

“Tiada apa yang saya boleh cakap mengenai perkara ini (Radamel Falcao). Untuk khabar angin ini anda perlu tanya pihak pengurusan dan bukannya saya.”