Kerajaan boleh wujudkan akta khas pastikan kelab yang dibelenggu masalah gaji tidak terlepas

239

Sejak sekian lama, isu kewangan yang melanda kelab-kelab Liga Malaysia sering saja berlaku setiap musim sehingga menyebabkan masalah tunggakan gaji dan ada juga kelab yang terpaksa terkubur begitu saja.

Salah satu punca isu ini terus membelenggu Liga Malaysia adalah kerana tiada ‘tapisan’ yang ketat kepada pasukan-pasukan yang bertanding mengenai kemampuan kewangan mereka untuk bertahan walaupun hanya semusim.


Terdapat kelab yang hanya gah pada awal musim tetapi apabila masuk saja pertengahan musim, mereka sudah tidak mampu menanggung perbelanjaan pasukan.

Baru-baru ini, kerajaan United Kingdom (UK) merancang untuk mewujudkan satu badan bebas yang mengawal selia kemampuan kewangan kelab bagi melihat sama ada pemilik kelab mampu memastikan kelangsungan pasukan mereka, mengelakkan isu-isu tertentu daripada berlaku.

Ia susulan kes yang melanda dua kelab, Bury dan Macclesfield Town yang mempunyai masalah kewangan sehingga menyebabkan mereka terkubur.

Inisiatif itu dinamakan White Paper, mengenai tadbir urus bola sepak, yang akan diterbitkan oleh kerajaan UK berdasarkan tinjauan yang diketuai oleh peminat.

Ini adalah satu usaha yang amat baik dalam memastikan ekosistem bola sepak tidak terganggu, terutamanya ketika liga sedang berlangsung.

Masalah kewangan bukan sahaja memberi kesan terhadap pasukan yang terlibat, tetapi juga mampu mengganggu pasukan lain.

Mungkin di Malaysia pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga boleh mengambil contoh inisiatif White Paper dalam menguatkuasakan satu undang-undang bukan sahaja untuk bola sepak tetapi juga setiap sukan.

Ketika ini sukar untuk pihak yang teraniaya mengambil tindakan kerana tiada akta khas yang melindungi mereka.

Ambil contoh kes tunggakan gaji yang berlaku kepada pemain Melaka United dan Sarawak United yang sehingga kini masih belum selesai.

Sekiranya terdapat satu akta khas yang menyatakan secara spesifik denda terhadap pihak yang menganiaya pemain atau atlet, sudah tentu kebajikan mereka lebih terjaga.

Undang-undang seperti itu boleh digunakan oleh badan bertanggungjawab seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL).

Kewujudan badan bebas seperti yang dicadangkan dalam White Paper juga boleh dicontohi supaya kelangsungan kelab-kelab yang bertanding dapat dipastikan sebelum kejohanan bermula.

Barulah isu-isu seperti tunggakan gaji tidak timbul ketika musim sudah berjalan dan merencatkan perjalanan liga.

Seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik dari mengubati’, penguatkuasaan satu akta khas bagi membendung perkara ini pastinya mampu mengelakkan masalah-masalah seperti yang dinyatakan timbul di kemudian hari.