Terengganu FC sebuah pasukan kuat, perlawanan esok akan jadi perlawanan cukup menarik – Jordi Amat

603

Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat memberitahu beliau menghormati pasukan Terengganu FC yang disifatkan sebagai sebuah pasukan yang kuat dan menjangkakan perlawanan Piala Sumbangsih malam esok akan menjadi perlawanan yang cukup menarik.

“Setiap pemain tahu apa yang perlu buat dan bersedia untuk perlawanan esok yang mana kami akan menentang pasukan yang bagus. Kami sangat menghormati Terengganu kerana pada final Piala FA musim lalu ia satu perlawanan yang cukup sukar.

Mereka juga menandatangani beberapa pemain baru, jadi perlawanan esok akan menjadi cukup menarik,”

katanya.

Jordi juga berkata keserasian di antara beliau dan rakan sepasukan juga sangat baik selepas mereka mengharungi perlawanan pra-musim di Dubai baru-baru ini.


Malah dengan kehadiran ramai pemain-pemain berkualiti dan winning mentality yang ada pada pasukan akan menjadi kunci utama kejayaan pasukan JDT musim ini.

“Saya sudah bersedia untuk diturunkan dan yakin dengan pasukan kerana setiap hari kami semakin bagus dengan pasukan mempunyai ramai pemain berkualiti, jadi barisan kejurulatihan akan sukar untuk menentukan pemain mana yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama.”

Dalam pada itu, pemain warisan Indonesia itu yang hanya sempat diturunkan pada hujung musim lalu berkata beliau musim ini adalah cabaran baru buatnya untuk mendapatkan tempat dalam skuad Harimau Selatan.

“Musim baru, cabaran baru. Tugas saya adalah untuk bermain mati-matian untuk kelab.”

JDT akan menentang Terengganu pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan perlawanan pembukaan Liga Super 2023 pada 24 Februari (esok) di Stadium Sultan Ibrahim.