Jurulatih Dania Sofea: BAM sila buka mata

1,331

Jurulatih Dania Sofea, Albert Lim menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya lebih peka terhadap bakat muda yang ada potensi supaya tidak merugikan negara.

“Saya minta BAM jangan lepaskan Dania, sila buka mata jaga budak ini untuk kebaikan Malaysia. Jangan membazir satu lagi bakat muda,”

ujarnya kepada Harimau Malaya

Kejayaan Loh Kean Yew sebelum ini umpama tamparan hebat buat BAM, selepas pemain kelahiran Malaysia yang bermain untuk Singapura berjaya merangkul kejuaraan dunia.


Jurulatih dari Albert Sports Badminton Akademi ini juga menyatakan jika pihak BAM mahu kualiti pemain yang bagus jangan mengukur dari faktor umur.

Hal ini kerana, jika pemain seperti Dania boleh memberi saingan terhadap pemain yang lebih berusia darinya maka, Dania sepatutnya diberi peluang untuk mewakili negara.

Albert turut berkongsi tentang rutin latihan Dania yang berlatih selama lima hari dalam seminggu. Pada sebelah pagi adalah latihan fizikal manakala sebelah petang latihan berkumpulan.

Tambahnya lagi, beliau lebih memberi fokus pada latihan kekuatan fizikal kerana Dania telah menguasai 80 peratus skil dan teknik seperti “smash”, teknik lompatan dan permainan di jaring.

Dalam pada itu, Albert memberitahu Dania merupakan seorang pemain yang cepat belajar skil dan teknik baru.

“Kita ajar dan tunjuk sahaja kepada Dania, dia sudah boleh buat. Dania ada keistimewaannya tersendiri berbanding pemain lain,”

Albert akan merasa gembira dan bangga sekiranya dapat melihat Dania bermain untuk Malaysia pada suatu hari nanti.