Adakah bekas pemain B-20 tahun Korea Selatan menjadi import ke-8 Sabah?

683

Pasukan Sabah FC berada di dalam prestasi terbaik selepas mengharungi musim cemerlang di dalam saingan Liga Super musim 2022 dan berjaya melayakkan pasukan ke Piala AFC pada musim ini.

Untuk memastikan pasukan Sabah terus menjadi pasukan yang digeruni serta berada di dalam tahap terbaik, pengedali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee bertindak menandatangani lima pemain import baharu iaitu Gabriel Peres, Ko Kwang-min, Jailton Paraiba, Jacob Njoku dan Telmo Castanheira selain mengekalkan Park Tae-soo dan Saddil Ramdani pada musim ini.


Namun, terdapat khabar yang menarik minat penyokong Sabah apabila terdapat seorang lagi pemain import dari Korea Selatan bernama Nam Yun-Jae melakukan latihan bersama pemain lain.

Pastinya perkhabaran ini memberi berita yang gembira kerana beliau merupakan pemain yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Korea Selatan B-20 tahun dan masih berusia 21 tahun.

Beliau yang mempunyai ketinggian 1.87 meter pastinya mampu memberi persaingan dalam perebutan bola di udara dan mempunyai kriteria yang diperlukan sebagai seorang pemain yang bermain di posisi pertahanan.

Yun-Jae mula bermain bola sepak dan menjadi pemain akademi Jeonnam Dragons B-12, B-15 dan B-18 sebelum dinaikkan pangkat ke pasukan senior Jeonnam Dragons yang bermain di divisyen dua K2 League.

Namun selepas beberapa bulan bermain bersama pasukan senior, beliau akhirnya berpindah ke pasukan yang bermain di K3 League iaitu Gyeongju Korea Hydro and Nuclear Power (Gyeongju KHNP) yang menyaksikan beliau menjaringkan satu gol daripada 15 penampilan pada musim 2022.

Sekiranya beliau dimasukkan sebagai import Sabah, beliau secara rasmi akan menjadi import kelapan pasukan dari Borneo itu pada musim ini tetapi beliau terpaksa bersaing dengan dua lagi pemain import seperti Gabriel Peres dan Ko Kwang-min yang bermain di posisi pertahanan.

Namun pastinya beliau akan menjadi pemain import jangka panjang memandangkan beliau baru berusia 21 tahun dan kemungkinan besar beliau akan bermain di dalam pasukan simpanan Sabah sebelum mendapat kepercayaan Kim Swee untuk bermain di dalam Liga Super.

Tetapi Kim Swee perlu bertindak cepat memandangkan tarikh tutup jendela perpindahan pemain bagi musim ini semakin hampir ditutup dan Yun-Jae juga masih belum mempunyai pasukan selepas kontrak beliau tamat pada tahun ini bersama Gyeongju KHNP.