Gadis berhijab jadi pakar analisis Manchester City, mungkin satu hari nanti wanita Malaysia juga lebih ramai libatkan diri dalam kejurulatihan

879

Golongan wanita jarang terlibat dengan pekerjaan di kelab bola sepak kerana permainan itu sering dipelopori oleh golongan lelaki sama ada sebagai pemain bola sepak atau sebagai pegawai kelab.

Malah, bola sepak sering dikaitkan dengan golongan lelaki sejak kecil menjadikan wanita tidak begitu berminat untuk menceburi pekerjaan bersama kelab bola sepak.


Namun itu tidak menghalang Maram AlBaharna, seorang gadis berketurunan Bahrain menyertai kelab Manchester City FC sebagai penganalisis bola sepak.

Ini menjadikan beliau antara wanita bertuah yang dapat bekerja di dalam kelab yang terkenal serta dipenuhi bintang bola sepak seperti Erling Haaland dan jurulatih yang berpengalaman seperti Pep Guardiola.

Beliau sebelum ini sudah bekerja dalam industri bola sepak sebagai wartawan di salah sebuah media sukan, The Athletic yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Maram ditugaskan untuk bekerja di dalam unit analisis dan tugas beliau adalah menganalisis setiap perlawanan dan setiap laporan akan dihantar terus kepada ketua analisis yang bernama Ravi Mistry.  

Kerjaya yang dimiliki oleh Maram bukanlah pekerjaan yang mudah, malah memerlukan minat yang mendalam serta sentiasa bersemangat utuk mempelajari perkara yang baharu.

Wanita di Malaysia juga boleh menjadi seperti Maram sekiranya memiliki keazaman yang tinggi serta minat yang mendalam.

Sekiranya Maram boleh bekerja di dalam industri bola sepak yang sentiasa dimonopoli oleh lelaki, wanita di Malaysia juga boleh melakukannya.

Malah, penglibatan golongan wanita di dalam industri sukan terutama bola sepak akan menjadikan setiap kelab lebih berani untuk mengambil wanita dalam usaha menaikkan kelab dan pemain ke tahap yang lebih baik.

Semoga kisah Maram boleh dijadikan inspirasi kepada golongan wanita Malaysia yang meminati sukan bola sepak serta ingin menjadikan pekerjaan dalam bola sepak sebagai kerjaya pada masa hadapan.