Esteban Solari belum berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun JDT julang Piala Sumbangsih
Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan saingan Liga Super mereka dengan langkah kanan apabila berjaya mengutip tiga mata pertama dan juga menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.
Biarpun menang, ketua jurulatihnya iaitu Esteban Solari meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan persembahan pemain-pemainnya dan berkata banyak perkara lagi perlu diperbaiki.
“Saya rasa pemain perlu libatkan diri dengan bola lebih banyak, bermain dengan cepat dan sentiasa menggerakkan bola serta kombinasi yang lebih baik. Kami masih mencari perkara ini, tapi saya gembira kerana pasukan sentiasa untuk bermain dan mengambil risiko kerana kita sememangnya bermain secara menyerang.
Sudah pasti kita perlu perbaiki banyak lagi kerana ini adalah perlawanan pertama, tambahan pula bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri dan trofi jadi taruhan. Tapi pemain berjaya dapat keputusan dan saya gembira untuk mereka,”
katanya.
Disebalik masih banyak yang perlu diperbaiki, Solari memuji barisan pemain-pemain muda seperti Hong Wan, Feroz Baharudin dan Arif Aiman.
“Kami letak tanggungjawab besar kepada mereka tapi mereka memberi respon yang cukup positif dan saya sangat gembira dengan persembahan mereka dan mereka layak untuk berada dalam pasukan. Arif Aiman seorang pemain yang cukup menakjubkan dan saya mahu beliau push dirinya lagi kerana percaya beliau mempunyai potensi cukup besar untuk berkembang menjadi pemain lebih hebat.”
Dalam pada itu, pengendali dari Argentina ini turut mengulas lanjut tindakan untuk tidak meletakkan pemain pertahanan kiri kental Corbin Ong dalam kesebelasan utama, sebaliknya memasukkan Oscar Arribas.
Solari berkata bola sepak adalah satu pertandingan, oleh itu beliau mahu pemain untuk bekerja keras untuk bersaing bagi mendapatkan tempat mereka dalam pasukan dan beliau akan memilih pemain yang berada dalam prestasi terbaik untuk diturunkan.
Tambahnya lagi, JDT mempunyai ramai pemain yang cukup berkualiti dan beliau mahu teruskan tradisi kelab untuk pemain sentiasa bersaing secara sihat.
Sementara itu, beliau berkata sebaik sahaja tamat perlawanan malam tadi beliau sudah membuat perancangan untuk perlawanan liga kedua menentang KL City FC pada 1 Mac ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Saya jangkakan perlawanan yang amat sukar menentang KL City nanti. Kami sudah pun menonton beberapa perlawanan KL City sebagai persiapan dan esok kita akan buat perancangan kerana kita jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar tapi kita sudah bersedia.”