Saya tak fikir untuk jadi ‘Top Scorer’ musim ini kerana apa yang penting kemenangan untuk pasukan – Bergson

425

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva memberitahu beliau tidak fikir atau meletak sasaran untuk mengekalkan trofi penjaring terbanyak Liga Super musim ini kerana apa yang penting baginya adalah untuk pasukan memperoleh kemenangan.

“Tidak, saya tidak pernah fikir mengenai perkara itu (jadi penjaring terbanyak). Bagi saya apa yang penting adalah untuk pasukan peroleh kemenangan dan kejuaraan. Ini merupakan kejuaraan pertama JDT untuk musim ini.

Kita tahu musim ini sukar kerana musim lalu kita memperoleh pelbagai kejayaan. Oleh sebab itu sasaran saya untuk musim ini adalah untuk terus menang kejuaraan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bergson terus mempamerkan ketajamannya di hadapan gawang lawan apabila berjaya menjaringkan gol kedua JDT sekaligus melengkapkan malam gemilang mereka untuk merangkul Piala Sumbangsih dan tiga mata penuh untuk saingan Liga Super apabila menewaskan Terengganu FC 2-0 malam tadi.


Dalam pada itu, pemain berasal dari Brazil ini mengakui berasa sedikit terkejut dengan cabaran sengit yang diberikan oleh pasukan Terengganu walaupun mereka turun beraksi tanpa beberapa tonggak utama.

“Kami agak terkejut dengan cara mereka bermain malam ini kerana mereka main cukup baik termasuk berjaya mendapatkan penguasaan bola pada separuh masa pertama dan melakukan percubaan.

Tapi ini JDT, kami perlu pamerkan aksi yang lebih baik dan kami gembira apabila berjaya menjaringkan dua gol untuk menang.”

Sementara itu, pemain berusia 32 tahun ini mengakui kurang berpuas hati dengan aksinya pada malam tadi kerana beliau percaya beliau mampu mempamerkan aksi yang lebih baik.

Oleh itu, beliau akan terus bekerja keras bagi meningkatkan permainannya untuk perlawanan akan datang.