Tahun lepas dan tahun ini wakili Malaysia ke Sukan SEA, lagi tiga tahun sasar untuk ke Sukan Komanwel pula – Im Li Ying

267

Pemain ping pong kebangsaan, Im Li Ying menyasarkan untuk mewakili negara dalam Sukan Komanwel 2026 Australia.

Katanya, pada tahun ini beliau akan membawa nama Malaysia ke Sukan SEA 2023 di Kemboja dan berharap mampu menyumbang pingat.


“Tahun lalu saya wakili Malaysia ke Sukan SEA di Vietnam dan memenangi pingat gangsa dalam kategori berpasukan.

Tahun ini saya juga akan mewakili Malaysia ke Sukan SEA di Kemboja, dan lagi tiga tahun saya harap dapat mewakili Malaysia ke Sukan Komanwel pula,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, beliau juga berharap dapat memenangi sebanyak mana pertandingan di peringkat tempatan.

Menurutnya untuk menjadi wakil negara adalah cabaran yang besar kerana terpaksa bersaing dengan ramai pemain ketika sesi pemilihan.

Walaupun mengakui sukan ini tidak popular di Malaysia, beliau memilih ping pong kerana sudah terlibat dengan ping pong sejak kecil.

Katanya, bermula dari situ, ia kemudian menjadi hobi dan beliau terus bertekad untuk menjadikan ia sebagai karier.