Tan Cheng Hoe akui pemainnya belum cukup serasi dan cergas sepenuhnya
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui pemainnya masih lagi berada pada tahap terbaik walaupun mereka berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pertama Liga Super selepas menewaskan Kelantan United FC 1-0 malam tadi.
Menurut Cheng Hoe, aksi pasukannya masih lagi belum mencapai jangkaan beliau kerana ada pemain-pemain yang belum cergas sepenuhnya dan tidak dapat persefahaman yang baik lagi.
“Belum lagi (jangkaannya), banyak lagi kerja yang kita perlu buat terutamanya dari segi persefahaman antara pemain. Kita perlu tingkatkan lagi persefahaman mereka kerana terdapat situasi yang mereka hilang bola dan Kelantan United melakukan serangan balas yang cukup berbahaya.
Kalau kita lihat tahap kecergasan mereka (Faisal Halim & Ayron) belum sampai tahap yang memuaskan. Bukan kerana prestasi mereka. Kita tahu dari segi persiapan pasukan kita belum stabil lagi, oleh sebab itu saya terpaksa membuat beberapa pertukaran,”
katanya.
Beliau turut mengulas mengenai prestasi beberapa pemain importnya seperti Yohandry Orozco dan Ayron del Valle yang mana beliau tidak melihat kedua-dua pemain gagal memberi aksi terbaik kerana kedua-dua pemain ini baru sahaja bersama pasukan dalam tempoh yang singkat.
Oleh itu, Cheng Hoe berkata kedua-dua pemain ini perlukan sedikit masa lagi untuk mendapat keserasian bersama rakan sepasukan lain.
Dalam pada itu, pengendali berusia 54 tahun itu sudah sedia maklum pasukan lawan akan bermain secara bertahan dan melakukan serangan balas mengejut.
“Malam ini perlawanan yang sukar kerana kita sudah buat analisis Kelantan United dan mereka dapati corak permainan mereka adalah bertahan dan melakukan serangan balas mengejut.
Kita tahu situasi tersebut dan yang penting adalah kita dapat tiga mata yang cukup penting. Itu adalah petanda positif untuk pasukan.”
Sementara itu, menjelang perlawanan kedua menentang Kuching City FC di tempat lawan, Cheng Hoe sekali lagi menjangkakan satu perlawanan yang sukar berikutan pasukan dari Borneo itu juga sudah memperoleh kemenangan pertama selepas menewaskan Kelantan FC.
Selangor akan menentang Kuching City di Stadium Sarawak pada 2 Mac ini.
Kemenangan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini menyaksikan Cheng Hoe terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super sejak mengambil alih Selangor pada September 2022.