Tomas Trucha terpaksa akur apabila pasukannya tewas kepada Selangor FC menerusi ‘set piece’

272

Ketua jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha memberitahu beliau tidak kecewa atau pun marah apabila pasukannya tewas 1-0 di tangan Selangor FC dalam perlawanan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Menurut Trucha, apabila membuatkan beliau berasa sedikit ralat apabila tidak dapat sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata apabila mereka tewas dek jaringan ‘set piece’.


“Kami jangkakan perlawanan yang sukar, pada masa perlawanan pertama Kelantan United dalam saingan Liga Super, jadi kami mahu beri yang terbaik untuk dapat keputusan bagus.

Saya tidak tahu nak cakap marah atau kecewa, tapi apabila anda kalah 1-0 sebab ‘set piece’ kerana ia perlawanan yang sengit dan hampir 0-0 atau 1-1. Malangnya kita gagal dapat sebarang mata. Oleh itu, kita akan melihat balik perlawanan tadi dan perbaiki untuk perlawanan kedua nanti,”

katanya.

Tambahnya lagi, pasukannya masih lagi belum 100% dalam keadaan terbaik kerana beberapa pemain baru sahaja menyertai pasukan di saat-saat akhir termasuk ada pemain yang masih belum cergas sepenuhnya.

Trucha berkata, mereka hadir ke Stadium MBPJ bukan hendak bermain secara bertahan, sebaliknya mahu mendapatkan kemenangan namun terpaksa akur apabila gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, pengendali dari Czech Republic ini berkata beliau perlu ‘guna’ pemain apa yang ada bagi memastikan mereka mampu bersaing.

“Sebagai jurulatih Kelantan United, saya perlu bekerja dengan pemain-pemain yang ada dan saya bukannya mempunyai keistimewaan di mana saya boleh beritahu pihak pengurusan pemain mana yang saya mahu. Ia tidak akan berlaku.

Jadi saya rasa semua orang ada ruang untuk peningkatan termasuk saya sebagai jurulatih. Kita ketika ini mahu cuba imbangi di barisan pertahanan dan serangan, termasuk transisi kepada bertahan kepada menyerang, ‘set pieces’ kita perlu buat dengan lebih baik lagi.”

Selepas ini Kelantan United akan berkunjung ke Stadium Likas untuk menentang gergasi Borneo, Sabah FC pada 1 Mac ini.