Tak kisah kita main macam mana pun, yang penting dapat 3 mata – Faisal Halim

1,389

Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim mengakui pasukannya masih belum berada pada tahap terbaik apabila mereka hanya sekadar menang tipis 1-0 menentang Kelantan United FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Menurut Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey, baginya corak permainan tidak penting sebaliknya kemenangan menjadi keutamaan.


“Ya sudah tentu pasukan Selangor masih belum cukup perlawanan sebenarnya, tapi kita sebagai pemain tidak boleh jadikan itu sebagai alasan untuk kita. Kita cuba buat yang terbaik dalam setiap perlawanan tak kira siapa pun kita lawan.

Tak kisah macam mana sekali pun cara permainan kita baik atau teruk, yang penting dapat tiga mata penuh,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata, Kelantan United bukan pasukan yang lemah kerana mereka mempunyai pemain-pemain berkualiti dan ia dibuktikan apabila mereka berjaya mengekang asakan bertali arus daripada pemain Gergasi Merah.

Tambahnya lagi, pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim ini tiada yang lemah sebaliknya semuanya mempunyai kualiti tersendiri.

“Pada saya musim ini kita tidak boleh jangka ada pasukan yang lemah kerana setiap pasukan mempunyai kualiti mereka tersendiri. Kita tidak boleh pandang rendah. Sebagai pasukan Selangor kita perlu buat yang terbaik untuk dapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan.”

Dalam pada itu, pemain berusia 25 tahun itu mengakui sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri sejak menyertai Selangor, namun beliau gembira semuanya berjalan lancar dan bersyukur dapat bantu pasukan memperoleh kemenangan pertama.

Menjelang perlawanan kedua di tempat lawan Kuching City FC, Faisal mengakui mereka adalah sebuah pasukan yang kuat apabila turut memperoleh kemenangan pertama menentang Kelantan FC baru-baru ini.

“Kita tahu bila lawan Selangor, semua pasukan akan memberikan persembahan yang lebih, tapi mereka akan bermain di tempat sendiri, jadi tekanan itu kepada mereka. Kita tahu bukan mudah untuk pasukan pelawat mendapat mata di tempat lawan, tapi kita pasukan Selangor, kita ada kualiti jadi saya harap semua pemain dapat beri yang terbaik.”